Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Cerek berisi batu jadi pemberat

SH


KULIM – Seorang warga emas, Loo Mou Sun, 64, yang tinggal bersendirian di Taman Angsana ditemui mati tergantung di rumahnya dekat sini, kelmarin.

Menurut jurucakap polis, mangsa bekerja sebagai tukang paip dan tinggal di rumah itu sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, mangsa adalah seorang pendiam dan jarang bergaul dengan jiran tetangga.

Jurucakap polis berkenaan berkata, sejak beberapa hari lalu, mangsa langsung tidak kelihatan sehinggalah salah seorang jiran yang tinggal bersebelahan rumahnya terhidu bau busuk lalu menghubungi polis.

“Polis kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap rumah mangsa dan menemui mayatnya tergantung dalam keadaan busuk dan reput.

“Mayat mangsa ditemui tergantung di siling. Matanya ditutup dengan kain manakala lehernya terjerut dengan tali nilon berhampiran ruang dapur kira-kira jam 9.30 pagi oleh anggota polis dari Unit MPV Balai Polis Kulim. Mangsa dikatakan mati tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang reput dan busuk. Polis mengambil masa hampir sejam untuk menurunkan mayat mangsa,” katanya.

Menurutnya, dari siasatan awal dijalankan, polis mendapati cerek air yang di dalamnya diletakkan batu dijadikan pemberat dan diikat di leher mangsa.

Jurucakap berkenaan memaklumkan, anak lelaki mangsa yang datang ke bilik mayat Hospital Kulim berkata, sejak beberapa hari lalu, mangsa sering mengadu berasa sunyi dan terlalu merindui mendiang isterinya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Mangsa sudah memaklumkan dia tidak mahu lagi tinggal di rumah itu dan menyatakan hasrat kepada anaknya untuk berpindah.

“Anak mangsa ketika ditemui di bilik mayat berkata, dia berhasrat untuk membawa bapanya pindah dari rumah itu. Dia terkejut apabila dimaklumkan oleh polis bahawa bapanya sudah meninggal dunia. Dia yang sedih dengan kejadian berlaku dan meminta polis mengagihkan barangan milik mendiang bapanya kepada fakir miskin yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, keputusan bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa mendapati punca kematiannya adalah akibat terjerut dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment