Search This Blog

Tuesday, March 15, 2011

Cemas lori pasir terbalik




KUALA NERUS - Sebuah lori yang menurunkan muatan pasir terbalik dan memusnahkan separuh kedai makan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, lori yang dipandu Ishak Othman, 50, terbalik ketika menurunkan muatannya di jalan depan kedai makan berkenaan yang sedang dibaik pulih.

“Belum sempat pasir diturunkan, tiba-tiba ia (pasir) tumpah dan terkena kedai berdekatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, di Kampung Padang Air.

Ishak berkata, muatan pasir berkenaan agak berat dan sukar baginya mengawal lori menyebabkan ia terbalik.

“Kejadian berlaku begitu pantas. Pasir tumpah ketika saya menekan jek,” katanya yang memandu seorang diri.

Sementara itu, pemilik kedai, Zainun Ngah, 60, berkata, ketika kejadian dia berada dalam kedai makannya.

“Saya leka mengemas kedai pada waktu itu. Tiba-tiba saya ternampak lori terbalik dan terus saya melarikan diri ke dapur untuk menyelamatkan diri.

“Pasir dalam lori itu tumpah dan terkena tiang kedai saya menyebabkan bumbung runtuh,” katanya.

Menurutnya, pada waktu itu, dia bersama dengan cucunya bersiap-siap mengemas: kedai.

“Mujurlah tiada pelanggan kerana saya mahu menutup kedai. Terkejut juga apabila melihat timbunan pasir menimpa kedai saya.

“Kejadian ini pertama kali berlaku sepanjang 20 tahun saya berniaga makanan dan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya.

Anaknya, Mohamad Zawawi Harun, 34, memberitahu, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang hanya 100 meter dari kedai dan apabila terdengar dentuman kuat dia segera berlari ke arah kedainya itu.

“Saya lihat sebuah lori terbalik dan ia melanggar sebahagian kedai makan kami.

“Anggaran kerosakan barangan yang rosak mencecah RM8,000 kerana meja makan rosak teruk ditimpa bumbung,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment