Search This Blog

Sunday, March 6, 2011

Cedera akibat rempuh anjing

SH


MALIM NAWAR - Gara-gara dirempuh anjing liar, seorang lelaki terpaksa mengambil cuti sakit sekurang-kurangnya tiga bulan untuk mengubati kecederaan yang dialaminya dalam kemalangan ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja awal pagi 10 Januari lalu.

Hafwa Wahid, 36, berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 7 pagi di Jalan Besar Malim Nawar apabila dia memperlahankan motosikal setelah terdengar bunyi bising daripada dua ekor anjing.

Menurutnya, dua anjing yang sedang bergaduh kemudiannya meluru ke arahnya dan dia terlanggar anjing berkenaan menyebabkannya cedera di bahagian kaki dan bahu.

“Akibat kecederaan itu, kaki kanan dan tulang bahu patah selain mengalami luka-luka di badan, dan bahagian belakang badan bengkak,” katanya.

Hafwa berkata, gangguan anjing liar di Jalan Besar Malim Nawar itu sering berlaku, malah berdekatan kawasan perumahannya di Taman Malim Permai juga kerap kelihatan kumpulan anjing liar berkeliaran terutama waktu subuh dan senja.

“Anjing liar memang selalu berkeliaran di kawasan sekitar memandangkan lokasi kemalangan adalah berdekatan dengan Pasar Awam Malim Nawar dan haiwan ini berkeliaran untuk mengerumuni tong sampah bagi mencari sisa makanan.

“Kita sebagai penduduk dan pengguna bimbang dengan keselamatan keluarga serta anak-anak berkemungkinan bahaya anjing liar ini bukan sahaja kerana gigitan tetapi membawa kesan lain,” katanya.

Kisah kecederaan Hafwa pernah disiarkan akhbar Sinar Harian 11 Februari lalu yang memohon supaya pihak bertanggungjawab mengambil tindakan demi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, dua hari selepas kenyataan dikeluarkan Sinar Harian, dia menyedari ada pegawai atau kakitangan Majlis Daerah Kampar membuat pemantauan anjing liar di kawasan perumahannya.

“Bukan saya sahaja yang pernah cedera akibat perbuatan anjing liar, tetapi ramai lagi mengalami pengalaman sama iaitu dihampiri anjing atau dikejar sehingga membawa kecederaan,” katanya.

Katanya, kadangkala pemilik anjing yang memelihara haiwan berkenaan dilihat secara sukarela melepaskan anjing mereka berkeliaran di luar pagar sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk lain.

“Selalu juga pengguna tidak kira dewasa atau kanak-kanak dikejar anjing semasa berada di luar rumah, malah pengguna motosikal juga menjadi sasaran haiwan itu,” katanya.

Penduduk dikejar



Penduduk, Mohd Ali Bahari, 62, berkata, anak perempuannya pernah dikejar anjing ketika membonceng motosikal dalam satu kejadian jam 9.30 malam ketika melalui taman yang sama.

“Bajunya sempat digigit anjing namun, tiada sebarang kecederaan lain kerana dia cepat mengelak daripada terus dikejar,” katanya.

Penduduk, Kamilah Mohd Said, 25, berkata, haiwan liar seperti anjing hanya mengenali pemiliknya, dan haiwan itu juga dipelihara bagi memastikan tiada orang tidak dikenali menghampiri rumah kediaman.

“Kalau tuan dia mestilah anjing ini mudah kenal, tetapi apabila ada orang yang tidak dikenali menghampiri haiwan ini sudah pasti disalak, lebih teruk dikejar dan digigit.

“Jadi saya merasakan memang mudah untuk mengalami kecederaan lebih-lebih lagi apabila haiwan ini sememangnya dilatih menjadi garang terhadap pengunjung asing baginya,” katanya.

Shafawati Muhtar, 25, berkata, sepatutnya anjing itu perlu dikategorikan sebagai haiwan berbahaya sehingga boleh menyebabkan kecederaan kepada seseorang.

“Sebenarnya kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya terserempak dengan anjing liar. Diharapkan pihak berkenaan boleh membuat rondaan kerap ke kawasan yang selalu menjadi tumpuan supaya perkara sama tidak berulang,” katanya.



Tak boleh tangkap



Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Kampar menjelaskan, haiwan tersebut tidak boleh ditangkap atau dibunuh dengan sewenang-wenangnya kerana terdapat akta tertentu yang melindungi haiwan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga menjalankan pemantauan ke atas kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat haiwan liar itu berkumpul.

No comments:

Post a Comment