Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Bekas banduan warga Singapura dalang samun kargo

JOHOR BAHRU: Seorang bekas banduan warga Singapura yang mengusahakan kilang barangan lusuh di Jalan Kota Tinggi-Kulai di sini, diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun kargo dan curi kenderaan sejak hujung tahun lalu.
Turut ditahan isteri suspek, wanita warga China serta empat pekerja mereka warga Indonesia.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek dipercayai mengarahkan empat pekerjanya itu menceroboh sebuah kilang di Pasir Gudang kira-kira jam 3.45 pagi, 31 Januari lalu.

“Kegiatan itu dibongkar selepas pengurusan kilang berkenaan membuat laporan polis berkaitan kejadian itu dan siasatan polis berjaya mengesan dalang sebenar.

“Berikutan itu, kira-kira jam 2.30 petang, 21 Februari lalu, polis menyerbu kilang barangan lusuh di Jalan Kota Tinggi-Kulai dan menahan semua enam suspek terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.


Beliau berkata, keenam-enam suspek berusia 20-an hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan di kilang berkenaan menemui dua lori jenis Daihatsu Delta dan kepala lori jenis Scania dilaporkan hilang di Desa Cemerlang dan Air Hitam.

“Polis turut menemui beg mengandungi plastik putih serta 160 guni kosong bertulis nama sebuah syarikat dipercayai dilarikan dari kilang syarikat itu di Pasir Gudang.

“Turut dirampas satu set komputer dipercayai menyimpan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kilang berkenaan untuk penelitian dan membantu siasatan,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek utama itu mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta satu rekod dikehendaki mengikut Seksyen 29(1) Undang-Undang Kesalahan Kecil (UKK).


Beliau berkata, berikutan penahanan suspek, polis percaya mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya satu kes samun dan dua kes curi kenderaan sekitar Seri Alam selain satu kes samun di Batu Pahat.
myMetro | Bekas banduan warga Singapura dalang samun kargo

No comments:

Post a Comment