Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Api disangka pencuri



ANAK sulung Roslina Ismail, Mohd. Zaim Fikri menunjukkan rumahnya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Tunjong, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 30 Mac - Seorang suri rumah tidak menyangka bunyi bising seakan-akan pencuri yang didengarnya, rupanya api sedang marak membakar bahagian dapur rumahnya di Kampung Tanjung dekat sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah malam itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila mangsa, Roslina Ismail, 34, dan keluarganya berjaya menyelamatkan diri.
Roslina berkata, ketika kejadian dia baru sahaja terlelap apabila dikejutkan dengan bunyi bising dari arah dapur.
"Pada mulanya saya ingatkan pencuri sedang memecah untuk masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja terdengar bunyi itu saya terus bergegas ke ruang dapur untuk melihat apa yang berlaku.
"Saya terkejut apabila melihat api sudah pun marak. Saya terus mengejutkan suami sebelum menyelamatkan tiga anak kami berusia enam hingga 12 tahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, dia kemudian mendengar bunyi letupan kecil sementara api pula marak dengan cepat menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang.
"Saya tetap bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya selamat," katanya sambil memberitahu mereka sekeluarga kini menumpang di rumah ibunya yang terletak berdekatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Penolong Penguasa Bomba Tuan Ahmad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.57 tengah malam.
Menurutnya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim dan Kota Bharu bersama dua buah jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian.
"Ketika sampai, rumah berkenaan telah musnah sepenuhnya dan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit. Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggar berjumlah RM60,000," katanya.

No comments:

Post a Comment