Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

75 ditahan, tujuh pusat judi digempur


ANGGOTA polis mengangkat peralatan judi di premis perjudian di  Taman Sentosa, Jalan Klang Lama,  semalam.
ANGGOTA polis mengangkat peralatan judi di premis perjudian di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, semalam.


KUALA LUMPUR: Berpuluh-puluh kaki judi bertempiaran lari selepas Polis Kuala Lumpur menggempur tujuh premis perjudian di Jalan Sri Sentosa 8, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, 68 orang yang bermain judi mesin komputer berusia 20 hingga 80 tahun serta tujuh penjaga premis berjaya diberkas ketika sedang leka bermain mesin judi.
Kejayaan operasi itu dikatakan berikutan taktik digunakan Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur yang membawa anggota dari luar daerah seperti Cheras, Sentul dan Dang Wangi untuk melakukan operasi.
Dalam operasi itu, 79 komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi dirampas dalam serbuan ke atas lapan premis di Taman Sri Sentosa.

Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata ketujuh-tujuh premis itu disyaki sudah beroperasi sejak setahun lalu.

“Kita percaya, faktor kawasan perumahan yang banyak di sekitarnya mendorong dalang atau pemilik premis perjudian menjalankan aktiviti mereka dengan harapan mengaut keuntungan yang tinggi,” katanya.

Ekoran kejayaan operasi itu, polis akan mengusulkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil langkah menyita semua premis perniagaan terbabit kerana menyalahgunakan bangunan mereka untuk operasi haram.
Semua ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka, manakala mereka yang ditahan kerana bermain judi dibawa ke Balai Polis Sri Petaling bagi proses dokumentasi. Berita Harian Online | 75 ditahan, tujuh pusat judi digempur

No comments:

Post a Comment