Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

2500 dipindah 25 sekolah tutup


KANGAR: Lebih 2,500 penduduk dipindahkan, manakala 25 sekolah ditutup sementara bermula semalam berikutan banjir kilat melanda negeri ini.
Mengikut statistik Jawatankuasa Bencana Alam negeri, setakat jam 6 petang, seramai 593 keluarga sudah dipindahkan ke 20 pusat pemindahan banjir di sekitar Arau, Kangar dan Padang Besar.

Bagaimanapun, jumlah terbabit dijangka akan bertambah selepas bacaan air di beberapa sungai utama semakin meningkat.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid berkata, pihaknya sudah menggerakkan semua jentera banjir untuk memberi bantuan segera kepada mangsa di seluruh negeri ini, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

“Semua enam pintu Empangan Timah Tassoh di Beseri, dekat sini, dibuka kerana takungannya menghampiri paras bahaya iaitu mencecah 29.9 meter dan sebanyak 400 milimeter (mm) padu air dilepaskan sejak tengah malam tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata, kadar hujan sejak tiga hari lalu dianggap luar biasa selepas ia melebihi paras 130 mm berbanding kadar biasa antara 20mm hingga 30mm hingga menyebabkan kawasan rendah dinaiki air sedalam 0.5 hingga melebihi 1.5 meter.

“Kami difahamkan banjir kali ini adalah fenomena cuaca tekanan rendah di Teluk Siam hingga menyebabkan hujan luar biasa di Perlis dan beberapa kawasan di Kedah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pelajaran negeri berkata, semua pelajar di 25 sekolah menengah dan rendah dibenarkan pulang awal selepas air mula memasuki perkarangan sekolah termasuk enam kritikal dan kemungkinan besar ditutup hari ini.
“Pihak jabatan akan membuat hebahan terkini menerusi media mengenai status sekolah bagi mengelak kepada pelajar dan guru daripada terpaksa menghadapi banjir,” katanya.

No comments:

Post a Comment