Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

25 lelaki ditahan


KUALA LUMPUR: Seramai 25 lelaki ditahan sejak kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan berdarah hingga menyebabkan seorang terbunuh dan dua lagi koma dalam kejadian di sebuah kafe siber di Taman Melati, Wangsa Maju, di sini.
Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata penahanan mereka adalah bagi merakam keterangan berhubung lima lelaki bersenjata parang, besi dan rantai dipercayai terbabit menyerang kafe siber itu, awal pagi kelmarin.

“Semua mereka ditahan adalah rakan mangsa. Mereka ini pernah terbabit pergaduhan dengan kumpulan lima lelaki itu.

“Malah daripada jumlah itu, ada antara mereka dikenal pasti saksi kejadian yang boleh membantu kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sekumpulan lima lelaki yang dipercayai terbabit kejadian awal pagi kelmarin sudah dikenal pasti dan polis akan menahan mereka dalam jangka masa terdekat.

“Semua mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini (semalam). Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mencari beberapa lagi suspek,” katanya.

Difahamkan, rakan mangsa yang diculik dalam kejadian serangan itu sudah ditemui dan ada antara yang ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian awal pagi itu, seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Helmi Khamaruddin, 20, maut di tempat kejadian akibat patah leher selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan rumah kedai ketika cuba menyelamatkan diri daripada diserang kumpulan itu. Dua rakannya pula koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), juga akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri.

No comments:

Post a Comment