Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

100,000 CD, DVD dirampas





M. Guna Selan bersama dua pegawainya menunjukkan sebahagian DVD dan VCD cetak rompak yang dirampas pada sidang akhbar di Georgetown, kelmarin.


PULAU PINANG 30 Mac - Sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) filem dan album cetak rompak di Lembah Ria dekat Air Itam di sini diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, kelmarin.
Operasi selama 10 jam bermula pukul 5.30 petang itu adalah hasil aduan pihak pemilik hak cipta iaitu Multimedia Entertainment Sdn. Bhd. serta risikan pihak kementerian sejak dua minggu lalu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK negeri, M. Guna Selan berkata, dalam serbuan tersebut sejumlah 97,904 keping DVD filem, 650 DVD dan 3,498 CD pelbagai tajuk yang disyaki cetak rompak berjaya dirampas.
"Kami juga berjaya menahan dua lelaki berusia 20-an yang sedang leka membuat pengasingan bahan cakera optik terbabit untuk siasatan lanjut di bawah Akta Hak Cipta 1987.
"Rampasan ini adalah yang terbesar tahun ini dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM512,760 dan semua barangan dipercayai untuk pasaran sekitar Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Tambah Guna, pengadu juga telah mengenal pasti sebanyak 1,500 salinan cetak rompak yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM30 juta atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, ia mengambil kira denda maksimum sebanyak RM20,000 bagi setiap salinan atau minimum RM2,000 boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
"Siasatan juga dibuat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang mana boleh didenda maksimum sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Orang ramai diminta tidak membeli cakera optik cetak rompak dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai stor penyimpanan bahan cetak rompak ini diminta menghubungi talian 1-800-886-800.

No comments:

Post a Comment