Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

10,000 barang tiruan dirampas

SH


JOHOR BAHRU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 10,000 barangan tiruan berjenama bernilai RM100,000 dalam serbuan di sekitar bandar raya ini, malam kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, operasi hampir lapan jam bermula 7.30 malam berakhir jam 3 pagi itu disertai 15 anggotanya menyerbu tiga lokasi sasaran di kawasan Pandan, di sini, selepas menerima aduan awam.

Menurutnya, hasil daripada pemeriksaan dijalankan mendapati pelbagai barangan berjenama tiruan seperti Crocs, Nike dan Adidas disita di bawah Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 untuk siasatan lanjut.

“Satu pemeriksaan dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK negeri ke atas tiga target iaitu premis terbuka, premis tetap dan sebuah stor di bangunan sama kerana disyaki menjual serta menyimpan barang tiruan.

“Kesemua barangan disyaki di bawa masuk daripada negara China dan juga diambil dari Kuala Lumpur untuk edaran di sekitar bandar raya ini seperti di pasar malam serta kedai-kedai kecil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 20an dan 30an di lokasi serbuan berbeza untuk diambil keterangan rakaman percakapan bagi siasatan lanjut kes berkenaan.

Selain itu, katanya, tindakan berkenaan berasaskan Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dilancarkan pada 10 Mei tahun lalu.

“Siasatan akan diteruskan dan sekiranya didapati pemilik premis ini melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment