Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Warung terbakar




ALOR TEMPOYAK - Sepasang suami isteri terpaksa berdepan ujian paling getir apabila warung makan yang menjadi tempat mencari nafkah bagi menyara enam anak, lima daripadanya masih bersekolah, musnah dalam satu kebakaran dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dipercayai berlaku ketika Shafie Ismail, 39, dan isterinya, Sanisah Mat Rani, 42, sedang tidur di rumahnya yang letaknya kira-kira 80 meter dari warungnya yang terbakar itu.

Sanisah berkata, sebelum kejadian, dia bersama suami melakukan kerja mengemas di warung tersebut sebelum pulang ke rumahnya kira-kira jam 12 malam.

Katanya, ketika sedang nyenyak tidur, tiba-tiba dia dikejutkan oleh jirannya memaklumkan ternampak api besar memusnahkan warung makan miliknya yang terletak berhampiran stesen minyak itu.

“Sebaik dimaklumkan jiran mengenai kejadian kebakaran itu, saya bergegas ke warung terbabit, namun api menjulang tinggi menyebabkan saya gagal menyelamatkan barang bernilai dan pelbagai peralatan lain dalam warung berkenaan.

“Saya tidak mampu melakukan apa-apa, segalanya musnah, warung yang menjadi sumber rezeki kami sebelum ini kini tinggal abu,” katanya.

Sanisah berkata, fikirannya buntu memikirkan bagaimana cara mencari pendapatan selepas warung makan yang dibina dengan tulang empat kerat lebih 10 tahun lalu itu kini sudah menjadi ‘padang jarak padang tekukur’.

“Lima anak kami masih bersekolah termasuk seorang daripadanya akan memasuki universiti tahun depan.

“Kejadian ini benar-benar membuatkan saya trauma, selain memikirkan anak, saya juga perlu mencari modal permulaan untuk membeli peralatan bagi membina semula warung yang musnah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Suki Annuar berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu jam 2.05 pagi lalu bergegas ke lokasi.

Bagaimanapun, katanya, api yang marak dengan cepat memusnahkan hampir keseluruhan warung yang kebanyakannya dibina daripada papan itu.

“Api dipercayai berpunca dari bahagian dapur. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak kami,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment