Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Warga Jerman dakwa diculik CIA saman Macedonia





2011/02/06

SKOPJE: Seorang lelaki Jerman yang mengatakan dia diculik CIA di Macedonia dan diseksa dalam sebuah penjara rahsia selepas disalah anggap sebagai suspek pengganas, memulakan proses menyaman Macedonia semalam untuk menuntut pengesahan terhadap penderitaannya secara rasmi. 

Khaled el-Masri menuntut pampasan 50,000 euro (RM207,426.93) – dan permohonan maaf – dari kerajaan Macedonia selepas diculik ketika berkunjung pada 2003.
Dia mengambil tindakan itu selepas gagal supaya kesnya didengar di mahkamah Amerika Syarikat dan Jerman.
El-Masri, yang berasal dari Lubnan, berkata dia disoal siasat secara kejam di penjara dikendalikan CIA di Afghanistan selama lebih empat bulan. 

Katanya, dia melakukan mogok lapar selama 27 hari dan pada akhirnya diterbangkan ke Eropah dan ditinggalkan di satu kawasan pergunungan di Albania. 

Peguamnya di Macedonia, Darian Pavli dan Filip Medarski, berkata mereka menuntut pampasan atas alasan bahawa Macedonia menyekat dakwaan penculikannya dan seterusnya menghalang sebarang siasatan ke atas insiden itu. 

Pihak berkuasa di Macedonia menafikan sebarang pembabitan dalam dakwaan penculikan itu. 
“Sebagai permulaan, adalah lebih baik jika Macedonia sekurang-kurangnya memohon maaf kepada el-Masri,” kata Pavli kelmarin menambah bahawa anak guamnya tidak akan hadir ketika perbicaraan awal di ibu kota ini. 

Pihak berkuasa Amerika enggan mengulas secara terbuka kes itu, namun kabel diplomatik didedahkan laman web WikiLeaks menunjukkan diplomat di Jerman dan Macedonia dipaksa untuk memastikan kes itu tidak mendapat liputan media. – AP 

No comments:

Post a Comment