Search This Blog

Sunday, February 20, 2011

Warga emas rentung


PRIHATIN... Hasan melawat mangsa yang terbabit dalam kebakaran, semalam.
PRIHATIN... Hasan melawat mangsa yang terbabit dalam kebakaran, semalam.

KUALA PILAH: “Saya terkejut apabila suami tiba-tiba mengambil tongkat lalu berjalan masuk ke rumah yang marak terbakar,” kata isteri kepada warga emas yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Cheriau, Senaling, dekat sini, petang kelmarin.
Selamah Radin, 70, berkata dia tidak sempat menghalang suaminya, Mohd Diah Alum, 80, daripada masuk semula ke rumah selepas dibawa keluar sebelum itu.

“Sejurus masuk ke rumah yang terbakar, suami hilang begitu saja dan saya serta seorang anak gagal menyelamatkannya kerana ketika itu api marak.

“Mayat suami kemudian ditemui rentung di ruang tamu oleh pasukan bomba selepas selesai kerja memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Hasan Malek di rumahnya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, rumah papan didiami warga emas itu bersama seorang anak dan cucu musnah sama sekali.

Menceritakan kejadian terbabit, Selamah berkata, ketika itu dia berada dalam bilik air memandikan cucu lelakinya berusia lima tahun sebelum terdengar anak perempuannya menjerit mengatakan rumah mereka terbakar.

Katanya, dia kemudian berlari mendapatkan suaminya di dapur dan membawanya keluar untuk menyelamatkan diri.

“Saya dan anak tidak dapat menyelamatkan barang berharga kerana api marak dengan cepat dan kini tinggal sehelai sepinggang selain kehilangan suami tercinta.

“Buat masa sekarang, saya dan anak menumpang sementara di rumah jiran dan terharu apabila mereka memberi sumbangan wang dan barang keperluan seperti beras, susu, gula, serta pakaian,” katanya.

Jiran mangsa, Khairee Nizam, 20, berkata dia memancing di kolam 500 meter dari tempat kejadian sebelum melihat asap dan mendengar suara orang menjerit meminta tolong.

“Saya bergegas ke rumah itu untuk memberi bantuan dan menghubungi bomba untuk memadam kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, pihaknya mengadakan rundingan bersama pejabat daerah untuk menyegerakan bantuan dan membina semula rumah mangsa di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tapak rumah yang musnah itu.

Menurutnya, kebakaran itu mungkin disebabkan sistem pendawaian yang usang.

“Saya meminta penduduk memeriksa semula sistem pendawaian di rumah masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.myMetroWarga emas rentung

No comments:

Post a Comment