Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Wanita hamil maut jatuh gaung



Oleh Rosli Ilham
bhkt@bharian.com.my
2011/02/06

KEADAAN kereta mangsa selepas terhumban ke dalam gaung di Kilometer 22, Jalan Paka-Bandar AMBS, kelmarin. Gambar kecil, Rodiah.
KEADAAN kereta mangsa selepas terhumban ke dalam gaung di Kilometer 22, Jalan Paka-Bandar AMBS, kelmarin. Gambar kecil, Rodiah.
Kereta dipandu suami terbabas ketika pulang hadiri majlis kenduri kahwin 

DUNGUN: Seorang wanita sarat mengandung terbunuh bersama anak dalam kandungan manakala suaminya patah kaki kanan apabila kereta yang mereka naiki terhumban ke dalam gaung di Kilometer 22, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) di sini, petang kelmarin.
Rodiah Mohd, 25, Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang mengandung lapan bulan, terbabit dalam kemalangan itu apabila kereta dipandu suaminya, Zuhairi Abdullah, 27, dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika pasangan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar AMBS selepas menghadiri kenduri kahwin rakan Rodiah di Felda Ketengah Jaya dan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang di Hospital Dungun. 

Mangsa yang diberi rawatan kecemasan mengalami pendarahan dalaman yang teruk sehingga menyebabkan anak dalam kandungan juga maut. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

Bagaimanapun, katanya suami mangsa yang mengalami patah kaki kanan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut. 
Sementara itu, kakak mangsa, Rotina Mohd, 37, ketika ditemui berkata, dia menemui Rodiah minggu lalu dan arwah memberitahu tidak sabar untuk menimang cahaya mata pertamanya yang bakal dilahirkan bulan depan. 

Katanya, mangsa juga memberitahu sudah mempunyai nama untuk bayi yang bakal dilahirkan itu dan membuat persiapan untuk bersalin anak pertama dengan rasa gembira. 

“Sebenarnya mangsa sebelum ini pernah mengalami keguguran dan kali ini dia amat tidak sabar untuk menunggu kelahiran cahaya mata pertamanya,” katanya. 

Katanya, arwah juga meminta beliau supaya menjadi pengasuh kepada anak itu kerana ibunya, Jawiah Jusoh, 57, sudah uzur. 

“Saya tidak sangka mata sebelah kiri saya yang tidak berhenti-henti berkedip sejak seminggu lalu rupanya membawa petanda akan kehilangan adik yang tersayang,” katanya. 

No comments:

Post a Comment