Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Tragedi bot karam



KUAH - Seorang masih hilang manakala dua selamat dalam kejadian bot karam selepas terlanggar seketul batu besar di Teluk Penarak, pagi kelmarin.

Ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, Shukor Ramjan, 29, dan rakannya, Muhammad Fitri Baharudin, 23, dalam perjalanan dari Kuah, ke Kuala Perlis untuk menghantar rakan mereka Zairy Zainol, 30, yang dipercayai masih hilang.

Terdahulu, Zairy yang tiba bersama Muhammad Fitri di Langkawi awal pagi kelmarin, dikatakan meminta pertolongan Shukor menghantarnya pulang ke Kuala Perlis dengan menggunakan bot gentian kaca selepas tertinggal feri penumpang terakhir pada jam 7 malam.

Namun, selepas beberapa minit, bot dipandu Shukor terlanggar seketul batu besar berhampiran Pulau Bumbun Besar mengakibatkan bot pecah dan karam.

Shukor berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka bertiga tidak sempat berbuat apa-apa melainkan berusaha menyelamatkan diri masing-masing dari lemas dengan berenang ke pulau berhampiran kira-kira 500 meter.

“Saya dan Muhammad Fitri berenang mengikut arus, manakala Zairy berenang melawan arus, ketika itu kami saling memanggil nama satu sama lain selain memberi kata-kata semangat.

“Sebaik mendarat di pantai hanya saya dan Muhammad Fitri saja yang ada, manakala Zairy tidak dapat dikesan, kami memanggil namanya berkali-kali tapi tiada tindak balas, sebelum kami tertidur akibat keletihan,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Fitri berkata, selepas hari siang dia cuba melambai kepada beberapa bot nelayan yang lalu tidak jauh dari tempat mereka bermalam, namun jeritan mereka tidak didengari.

“Hanya menjelang tengah hari, sebuah bot nelayan dinaiki seorang warga emas menghampiri kami sebelum membawa saya dan Shukor ke jeti nelayan di Kampung Penarak, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi,” katanya.

Tinjauan di jeti nelayan Kampung Penarak, mendapati, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai bapa Zairy, Zainol Baharom, 56, dan isterinya, Julia Jaafar, 30, yang tiba bersama empat ahli keluarganya dari Kuala Perlis.

Julia berkata, suaminya ada menelefon untuk pulang menggunakan bot sewa selepas ketinggalan feri terakhir dari Kuah ke Kuala Perlis pada jam 7 malam kelmarin.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga bapa mertua datang memberitahu suami saya hilang dalam laut selepas bot yang dia naiki bersama dua rakannya pecah dan karam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah, berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengetuai operasi SAR mulai jam 3.45 petang kelmarin.

“Sebaik menerima maklumat kecemasan, APMM dengan dibantu anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Langkawi melancarkan operasi SAR di tempat kejadian.

“Pasukan penyelam bomba dan penyelamat menemui bangkai bot yang tenggelam di lokasi kejadian, namun kerja menaikkan bot terpaksa ditangguhkan kerana cuaca tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan dan disambung semula pagi semalam (5 Februari) bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
-sh

No comments:

Post a Comment