Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Tiga laluan di Gemas ditutup akibat banjir



TAMPIN 6 Feb. - Tiga laluan di sekitar daerah Gemas, dekat sini terpaksa ditutup sementara waktu setelah mengalami kerosakan akibat banjir teruk yang melanda beberapa kawasan terbabit sejak Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Datuk Ir. Dr. Roslan Md. Taha berkata, proses penutupan tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan segera dalam mengatasi kesulitan pengguna di laluan terbabit selain menjamin keselamatan mereka.
''Tiga laluan tersebut ialah jalan pintas ke Felda Kepis ke Kuala Pilah, Jambatan Merdeka menghubungkan Felda Jelai ke Tampin serta jalan masuk ke Felda Bukit Jalor.
''Buat masa ini, Jambatan Merdeka sahaja yang dibuka kepada umum secara sehala sejak semalam, manakala dua lagi jalan itu akan ditutup untuk suatu tempoh tertentu kerana terjejas teruk akibat bencana tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Roslan, Jambatan Merdeka berhampiran Sungai Kelamah, Gemas, dekat sini yang menjadi laluan utama menghubungkan Felda Jelai ke Tampin itu masih dibaiki ekoran mengalami hakisan kritikal pada bahagian penampannya.
''Bagaimanapun laluan di jambatan ini hanya dibuka kepada kenderaan ringan, persendirian serta bas sekolah sahaja dan masih ditutup kepada semua kenderaan berat sejak Rabu lalu.
''Oleh itu, orang ramai boleh menggunakan Jalan Pasir Besar ini sebagai laluan alternatif jika tidak mahu melalui jambatan tersebut untuk ke Tampin, malah jaraknya juga dekat iaitu enam kilometer tambahan berbanding laluan utama," jelasnya.
Mengulas mengenai jalan pintas yang menghubungkan Felda Kepis ke Kuala Pilah, Roslan memberitahu, didapati jalan sepanjang 50 meter akibat hujan lebat beterusan sejak 31 Januari lalu.
''Kos pembaikan dianggarkan mencecah RM1.5 juta dan kita telah pun memohon peruntukan tersebut daripada Kerajaan Pusat bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan," katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai menggunakan Jalan Senaling, dekat sini sebagai laluan alternatif berikutan penutupan jalan pintas tersebut.
Bagi jalan masuk ke Felda Bukit Jalor pula, Roslan menjelaskan, ia terpaksa ditutup terus ekoran penampan jambatan penghubung di laluan terbabit runtuh akibat hakisan air deras di sungai berhampiran.
''Kita tidak akan membaiki jalan ini kerana pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang membina sebuah jambatan tetap di kawasan tersebut.
''Jambatan baru itu dijangkakan siap tidak lama lagi dan diharapkan penduduk berhampirandapat menggunakan jalan pintas Batu Baur sepanjang 2.5 kilometer sebagai laluan alternatif untuk masuk ke Felda Bukit Jalor," katanya.

No comments:

Post a Comment