Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Tidak sempat timang bayi



AMBS - “Beberapa hari sebelum pemergiannya, dia ada menyebut beberapa nama untuk diberikan kepada anaknya yang bakal lahir nanti, namun saya tidak menyangka akhirnya dia turut pergi bersama bayi yang dikandungnya itu.

Demikian kata Rotina Mohd, 37, kakak kepada Rodiah Mohd, 26, mangsa yang terbunuh dalam kemalangan maut berdekatan Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS), Dungun, petang semalam.

Menurut Rotina, ketika kejadian, adik perempuannya itu dalam perjalanan daripada menghadiri kenduri perkahwinan di rumah rakannya di Felda Ketengah Jaya, kira-kira 30 kilometer dari rumahnya di Taman Madani AMBS.

Rodiah duduk di tempat duduk hadapan ketika Perodua Myvi dipandu suaminya, Zuhairi Abdullah, 30, dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban dalam cerun di Kilometer 22 Jalan Paka-AMBS kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Rotina yang masih hiba dengan pemergian arwah yang juga anak keempat daripada enam beradik itu berkata, sebelum tragedi terbabit, arwah dikatakan beria-ria ingin menimang cahaya mata setelah dia mengalami keguguran ketika mengandungkan anak sulungnya tahun lalu.

Rotina berkata, segala persiapan dibuat untuk menyambut bayi sulung itu termasuk menyediakan kelengkapan bayi, dan paling ketara dia bertanyakan nama yang sesuai untuk bayi yang bakal dilahirkan itu.

“Sejak belakangan ini, tingkah laku arwah agak pelik berbanding biasa. Arwah juga sering merajuk dan tidak ingin mengalah dalam setiap hal.

“Sebagai kakak, saya tidak mengambil hati sangat dengan kelakuannya itu, apatah lagi memikirkan dia kini sedang sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk bersalin. Namun saya tidak menyangka rupa-rupanya ia satu petanda dia akan meninggalkan kami semua bersama bayi yang dikandungnya,” katanya.

Mangsa yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Pelanggan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan AMBS, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat pendarahan dalaman.

Suaminya, Zuhairi hanya patah kaki dan menerima rawatan di Hospital Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

“Jenazah mangsa dituntut bapa tirinya, A Karim Rawi untuk dibawa pulang dengan kenderaan jenazah Masjid AMBS sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AMBS.

SH

No comments:

Post a Comment