Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Terkejut lihat pemilik rumah bogel



BALIK BUKIT – “Ketika keluar dari rumah, saya terkejut melihat api sudah menjulang tinggi dan marak membakar rumah mangsa, selain pemilik rumah tersebut pula berbogel di luar rumah,” demikian menurut jiran terdekat, Ismail Abdul Rahman, 52.

Menurut Ismail, keja­dian itu disedari apabila anak sulung mangsa yang berumur 16 tahun datang ke rumah meminta pertolongan dengan mengatakan bapanya telah membakar rumah bermula dari bengkel membaiki motosikal.

“Sejurus selepas itu saya segera ke rumah mangsa dan hanya sempat menyelamatkan dua buah motosikal, sebiji tong gas dan sebuah kompresor penyembur angin yang terletak di luar rumah, manakala barangan lain hangus sementara menunggu anggota bomba memadamkan api.

“Pemilik rumah yang membakar rumahnya sendiri telah diberi bantuan oleh orang kampung kerana dipercayai melecur pada bahagian kakinya akibat terkena api,” katanya.

Ismail berkata, kejadian itu memang tidak disangka sama sekali kerana rumah yang didiami itu adalah rumah pusaka arwah ibu mangsa, dan mereka telah tinggal di situ sejak berpuluh tahun lalu.

“Kemungkinan kebakaran yang berlaku berpunca daripada tekanan perasaan kerana sejak seminggu belakangan ini, saya pernah melihat mangsa sentiasa merapu seorang diri.

“Kadang-kadang segala kerja yang dilakukannya juga seakan-akan tidak kena walaupun tiada sebarang gangguan daripada orang lain.

“Namun, saya tidak mengesyaki apa-apa walaupun berada paling hampir dengan rumahnya sehinggalah dikejutkan dengan kejadian kebakaran pada Jumaat lalu,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, hubungan mangsa dan keluarganya dengan jiran terdekat tiada apa-apa masalah setakat ini walaupun masing-masing sibuk dengan kerja.

“Biarpun sebelum ini pernah mendengar mangsa memarahi isteri dan anak-anak, namun saya menganggap ia lumrah dalam kehidupan berumah tangga dan tidak pernah mencampuri urusan keluarga mereka,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment