Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Tempoh reman 7 lanun Somalia dilanjutkan



Anggota polis membawa keluar empat daripada tujuh lanun Somalia setelah tempoh tahanan reman mereka disambung, di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Feb. - Perintah tahanan reman terhadap tujuh lanun warga Somalia yang ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa cuba merompak sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel di Teluk Aden pada 20 Januari lalu dilanjutkan selama enam hari lagi.
Majistret Zulkifli Abdullah membenarkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek dilanjutkan sehingga 12 Februari depan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan polis.
Kesemua lanun itu yang memakai baju lokap berwarna jingga hari ini dibawa ke Pusat Tahanan Sementara, Balai Polis Bukit Jalil dengan menaiki sebuah bas polis yang tiba pada pukul 9 pagi.
Kesemua suspek kemudian dilihat keluar meninggalkan pusat tahanan itu pada pukul 11.40 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin ketika dihubungi mengesahkan polis mendapat perintah untuk melanjutkan tahanan reman kesemua suspek.
Beliau memberitahu, siasatan berhubung kes itu masih belum selesai dan pihaknya memerlukan masa untuk menyiapkan kertas siasatan.
Pada 31 Januari lalu, kesemua suspek tiba di negara ini untuk didakwa sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut setelah ditahan oleh Pasukan Komando Laut (Paskal) TLDM di perairan Teluk Aden.

No comments:

Post a Comment