Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Syak anak jadi mangsa dera pusat asuhan



KANGAR 6 Feb. - Seorang juruteknik, Mohd. Shukri Soid mengesyaki anaknya, Anis Syafiah dua tahun menjadi mangsa dera semasa ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Repoh dekat sini pada 25 Januari lalu.
Mohd. Shuktri, 31, berkata anaknya mengalami kecederaan akibat melecur pada bahagian kemaluan dan kedua pahanya dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selama dua hari akibat kecederaan itu.
Menurutnya, beliau juga telah membuat laporan polis berhubung kes itu namun siasatan polis mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan mengklasifikasikan kes itu sebagai kecuaian dan kemalangan.
Beliau yang menetap di Jejawi dekat sini berharap kes itu disiasat semula kerana beliau mengesyaki ada unsur penderaan terhadap anak perempuannya itu.
Mohd. Shukri yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah institusi pengajian tinggi di sini berkata beliau menempatkan anak bongsunya itu sejak lebih setahun lalu di pusat asuhan tersebut.
Katanya pada hari kejadian, beliau merasa kecewa kerana hanya dimaklumkan mengenai kecederaan itu semasa menjemput anaknya pukul 6 petang sedangkan kejadian dikatakan berlaku sebelah tengah hari.
Anis Syafiah dikatakan tersimbah air panas ketika mangsa bersama 10 kanak-kanak lain bersiap sedia untuk mandi sebelum mangsa terlanggar meja di dapur dan terjatuh.
Akibat kejadian itu, bekas berisi air panas yang digunakan untuk memanaskan susu terbalik dan tertumpah ke atas paha mangsa.
Mohd. Shukri berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membuat siasatan menyeluruh mengenai operasi pusat asuhan itu demi keselamatan kanak-kanak yang lain.
Katanya beliau kini bercadang menempatkan anaknya itu di sebuah pusat asuhan lain yang terletak berhampiran rumahnya di Jejawi.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment