Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Suami isteri, remaja maut nahas dua kereta





2011/02/07

BATU PAHAT: Sepasang suami isteri dan seorang remaja maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer (km) 36, Jalan Kluang Ayer Hitam, berdekatan Plaza Tol Ayer Hitam di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Mohd Zaid Nasir, 42, dan isteri, Hasrina Abu Bakar, 38, serta remaja, Mohd Hifzan Selamat, 19, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata mayat ketiga-tiga mangsa berkenaan tersepit di kenderaan masing-masing berikutan kesan hentaman kuat sebelum dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat serta orang ramai.
“Kemalangan itu berlaku apabila kereta Perodua Viva, dipandu Mohd Hifzan, yang menuju ke arah Ayer Hitam, tiba-tiba memasuki lorong bertentangan menyebabkan kenderaan berkenaan merempuh kuat kenderaan pasangan suami isteri yang berada di depan.

“Kenderaan yang dipandu Mohd Zaid yang juga peniaga itu menuju ke arah Kluang dan tidak sempat mengelak kenderaan Mohd Hifzan menyebabkan mereka maut di tempat kejadian.

“Tiga lagi penumpang yang duduk di tempat duduk belakang kereta Proton Wira milik Mohd Zaid, iaitu adiknya, adik ipar serta anak saudaranya yang berusia empat tahun juga parah dan kini dirawat di Hospital Batu Pahat," katanya di sini semalam.

“Kita masih menyiasat punca kemalangan dan tidak dapat mengatakan sama ada remaja berkenaan mengantuk atau tidak.
“Mengikut maklumat, remaja berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Parit Raja yang terletak tidak berapa jauh dari lokasi kemalangan, manakala peniaga berkenaan pula menuju ke Kahang selepas menghabiskan cuti Tahun Baru Cina di sekitar daerah ini, " katanya.
Berita Harian Online | Suami isteri, remaja maut nahas dua kereta

No comments:

Post a Comment