Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Suami cari isteri hilang sejak seminggu



KLUANG - Suami resah apabila isterinya yang baru dinikahi pada 22 Januari lalu tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu setelah keluar untuk membeli nilai kredit telefon bimbit.

Nor Hasrul Affandi Hashim, 25, berkata, isterinya, Nurhidayah Samsuddin, 20, keluar kira-kira jam 11.30 pagi pada 28 Januari dan disedari ibu mertuanya.

“Pada masa itu, saya tiada di rumah kerana dalam perjalanan dari Pahang untuk balik ke Kluang, namun ibu mertua saya sedar dia keluar ketika itu.

“Apabila sampai di rumah, saya ada bermesej dengannya kerana berasakan dia keluar terlalu lama. Mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang saya terima daripadanya adalah pada hari Jumaat 28 Januari, kira-kira jam 1.35 petang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam mesej terakhir, isterinya menyatakan bahawa dia berada di rumah kawannya di Yap Tau Sah dan Mor Hasrul menyuruhnya pulang kerana pada masa itu hujan.

Beliau berkata, selepas terima mesej itu, dia cuba menelefon isterinya tetapi tidak berjawab.

“Keesokan harinya saya membuat laporan polis bersama-sama ayah mertua saya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Dan hari ini (semalam) genap seminggu isteri saya hilang tanpa sebarang berita. Semua kawan rapatnya sudah saya tanya tetapi semuanya tidak mengetahui ke mana perginya isteri saya ini,” katanya.

Nor Hasrul berkata, isterinya saya keluar hanya memakai baju t-shirt berwarna merah jambu, berseluar track dan menaiki motor.

Beliau berkata, tiada punca dan sebab untuk isterinya melarikan diri kerana hubungannya mereka baik, tambahan pula baru mendirikan rumah tangga.

“Saya amat risau tentang keselamatannya kerana sewaktu dia keluar, isteri saya hanya membawa beg duit berisi wang tunai kira-kira RM200, kad pengenalan dan barang kemas yang dipakai ketika berkahwin,” katanya.

Menurut Nor Hasrul, pada 5 Februari adalah hari lahir isterinya dan biasanya isterinya akan menyambut ulang tahunnya bersama ayahnya yang mempunyai tarikh lahir yang sama.

Beliau berkata, ayah mertuanya sangat sedih dengan apa yang berlaku dan mengharapkan agar anak perempuannya dapat dijumpai semula dengan secepat mungkin.

“Sehingga ke saat ini pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk mencari isteri saya ini dan saya juga meminta bantuan daripada kawan-kawan yang lain untuk mencari ke semua tempat.

“Jika sesiapa yang menjumpainya bolehlah menghubungi saya di talian 07-7761649 atau 017-9653293,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment