Search This Blog

Monday, February 28, 2011

SH

Maut terbabas


KUALA KANGSAR - Seorang remaja, Wong Kai Sin, 21, maut akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Kuala Kangsar menuju ke Manong, di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) setelah berjaya dikeluarkan daripada tempat duduk kenderaan jenis Proton Wira dipandunya kerana tersepit.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, kemalangan berkenaan hanya melibatkan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki yang dalam perjalanan menuju arah Manong.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas sendiri apabila tiba di sebuah kawasan perkuburan Cina di Jerlun serta terlanggar tiang elektrik.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 pagi dan ketika itu mangsa memandu seorang diri, siasatan awal mendapati kenderaan dipandunya terbabas sendiri melanggar tiang dari arah bertentangan dan kemudiannya tersadai di sebatang pokok.

“Mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan kecemasan selepas berjaya dikeluarkan daripada tempat duduknya tetapi gagal diselamatkan apabila maut dalam perjalanan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan bertulis, di sini, semalam.

Abdul Gaffar berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan serius di kepala.

“Faktor kemudahan lampu jalan juga mungkin menjadi penyebab kepada punca kemalangan ini selain cuaca yang tidak baik sewaktu kemalangan.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment