Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Setiap hari dengar tembakan



KUALA TERENGGANU- “Sepanjang perjalanan menuju ke lapangan terbang, saya dapat lihat balai polis terbakar, kedai kereta dipecah masuk. Pada masa itu, saya pasti tindakan saya keluar rumah ketika itu adalah pilihan yang tepat.”

Itu antara luahan Che Nur Ain Che Abdullah, 22, penuntut jurusan Perubatan, tahun empat di Universiti Alexanderia, Mesir yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, pagi semalam.

Che Nur Ain merupakan antara penuntut yang pulang dengan pembiayaan sendiri bersama rakan-rakannya setelah keadaan pergolakan di Mesir bertambah buruk.

Menurutnya, walaupun diberitahu akan diselamatkan kerajaan dengan berpindah ke Jeddah, keadaan runcing membuatkan dia dan rakan-rakan semakin terdesak untuk menyelamatkan diri.

“Setiap hari, kami dapat dengar tembakan dan bunyi bising. Apatah lagi melihat mereka memegang parang dan kayu, saya dan rakan-rakan semakin ketakutan. Ditambah pula dengan talian Internet dipotong, saya semakin hilang punca kerana tempoh berkurung semakin singkat.

“Mujurlah sebelum keadaan demonstrasi bertambah teruk, saya sempat membeli kad tambah nilai telefon. Dengan kredit yang hanya ‘nyawa-nyawa ikan’, saya dapat menghubungi keluarga dan meminta mereka membantu ‘mengeluarkan’ saya dari sini,” katanya.

Menurutnya, bimbang keadaan menjadi lebih teruk, dia dan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk ke lapangan terbang sehari lebih awal dan bermalam di situ kerana bimbang akan terperangkap serta tidak sempat ke lapangan terbang.

Sementara itu, ibunya, Norhayati Yusof, 45, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Hulu Terengganu berkata, dia amat bersyukur kerana anaknya selamat sampai ke tanah air.

“Saya tidak dapat tidur lena setiap malam memikirkan anak saya. Lebih membimbangkan, dia akan menangis setiap kali saya hubunginya kerana dia hilang punca dan ketakutan.

“Walaupun terpaksa habiskan ribuan ringgit bagi memastikan dia selamat sampai ke tanah air, saya sanggup kerana apa yang penting adalah nyawa anak saya,” katanya.

Bapa Che Nur Ain, Che Abdullah Che Husain, 46, berkata, dia bersyukur kerana anaknya selamat dan menyatakan tindakan kerajaan membawa pulang anak-anak Malaysia sebagai satu tindakan tepat bagi keselamatan pelajar Malaysia di sana.

No comments:

Post a Comment