Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Rumah tiada elektrik terbakar




LONDANG - Sebuah rumah papan pusaka peninggalan ibu bapa kepada seorang warga emas yang tinggal bersendirian rentung dalam kebakaran di Jalan Pokok Tanjung, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Buang Md Zin, 58, yang tiada di rumah dikejutkan dengan musibah menimpanya oleh penduduk.

Menurutnya, rumah berkenaan yang didiami tanpa bekalan elektrik hangus dalam sekelip mata, disedari satu keluarga berhampiran selepas terdengar bunyi dentuman kuat dipercayai zink rumah yang terjatuh.

Saksi kejadian, Zimah Joned, 50-an, berkata, kejadian disedari salah seorang anaknya yang segera keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati rumah warga emas terbabit terbakar sebelum memanggil bapanya.

“Anak saya melihat api sudah marak dan terus memanggil ayahnya, yang kemudian cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya.

“Kemudian, menantu saya memaklumkan kejadian kepada kakak Buang yang ketika itu solat Isyak dan penduduk mengesyaki Buang ada di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, mereka cuba memanggil Buang beberapa kali sebelum seorang penduduk menemuinya dalam perjalanan pulang dari kedai.

“Mujur ketika itu ada sekumpulan remaja yang duduk berkumpul menyedari api mulai marak dan terus menghubungi bomba,” katanya.

Buang ketika ditemui berkata, dia ke kedai minum berdekatan sejak jam 5.30 petang dan sudah memastikan rumah berkunci, selain tidak pernah memasang pelita.

“Pada mulanya saya tidak percaya rumah terbakar dan terus ke rumah kakak yang tinggal berhampiran dengan kediaman,” katanya.

Menurutnya, dari rumah kakaknya api dilihat semakin marak tetapi dia tidak berani mendekatinya kerana risau jika berlaku letupan.

“Mujur semua dokumen penting seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan ada di rumah kakak,” katanya.

Buang yang sudah biasa hidup bergelap sejak lima tahun lalu bimbang sekiranya pemasangan bekalan elektrik menyebabkan kebakaran dan tidak menyangka meskipun tanpa bekalan elektrik, kebakaran tetap berlaku.

Sementara itu, Sidang Kampung Londang, Ramli Naaman, melahirkan kekesalan atas masalah talian telefon yang berlaku menyebabkan dia mengetahui kejadian dua jam selepas itu, iaitu kira-kira jam 10 malam.

“Saya difahamkan, ada juga penduduk gagal menghubungi balai bomba gara-gara masalah talian telefon. Jika tidak, mungkin rumah Buang dapat diselamatkan meskipun cuma sebahagian daripadanya,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Bajiyen a/l Ramiah berkata, pihak bomba menerima panggilan orang awam jam 9 malam dan mengarahkan lapan anggota dan satu jentera ke lokasi kejadian.

“Hampir keseluruhan rumah papan berkenaan hangus dan kejadian dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan berdekatan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment