Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Rumah terbakar ketika terima e-Book



BANGGOL CHEMPEDAK – Kegembiraan disulam duka. Begitulah nasib seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Serada Tahun Lima, Muhd Isma Hazwan Ismail.

Kegembiraannya mendapat sebuah e-Book yang baru diterimanya pada Majlis Penyerahan e-Book di sekolahnya, disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bertukar duka apabila dapur rumahnya terbakar.

Menurut Hazwan, apabila tiba di rumah bersama keluarga lain, dia dan bapanya, Ismail Awang, 40-an menyedari api sedang merebak pada bahagian dapur rumahnya.

“Masa itu saya turun dari kereta dan terus ke pintu dapur bersama ayah, tetapi apabila pintu dibuka, saya terkejut melihat api merebak.

“Kemudian ayah mengambil air dalam kolah untuk memadam api yang belum marak, dibantu ahli keluarga lain,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu kerana tidak pernah mengalami pengalaman memadam kebakaran.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ketika kebakaran, tiada orang di dalam rumah kerana semua menemaninya mengambil e-Book di sekolahnya bersama lapan lagi sekolah rendah lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat.

“Mujur kami sampai di rumah awal, dan api tidak sempat merebak serta dapat dipadamkan dengan cepat sementara yang lain-lain memunggah barang untuk diletakkan di tempat selamat,” katanya.

Hazwan berkata, jirannya yang dikenali sebagai Pok We mendengar bunyi letupan di kawasan rumahnya tetapi keadaan api yang tidak begitu marak, menyebabkan jirannya itu tidak mengendahkan bunyi terbabit.

“Dia juga tidak menyangka bunyi yang didengar beberapa minit sebelum kami sekeluarga sampai di rumah itu tanda kebakaran akibat masalah lintar pintas,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment