Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Rumah panjang Nanang Duyun runtuh

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak



Penghuni rumah Nanang Duyun di tebing Sungai Baram, Marudi cemas apabila rumah panjang berkenaan runtuh baru- baru ini.


MARUDI 6 Feb. - Penghuni rumah Nanang Duyun di tebing Sungai Baram dekat sini cemas apabila rumah panjang berkenaan runtuh tengah malam kelmarin.
Tuai rumah, Nanang, 55, ketika ditemui berkata, rumah panjang yang mempunyai 34 pintu berusia lebih 30 tahun itu runtuh ketika semua penghuni sedang tidur.
"Penghuni hanya terjaga apabila mendengar bunyi kayu patah kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
"Sebenarnya rumah ini sudah uzur kerana jarang diselenggara para penghuni yang kebanyakannya menetap di sekitar daerah ini dan Miri," katanya di sini.
Berikutan kejadian itu, tambahnya, 13 keluarga melibatkan 83 penghuni memerlukan bantuan berikutan kehidupan seharian mereka terjejas.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baram, Joseph Belayong melawat tempat kejadian setelah dimaklumkan oleh penduduk kampung mengenai insiden berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu akan dimaklumkan kepada pihak kerajaan bagi memohon bantuan segera supaya kebajikan para penghuni tidak diabaikan.
"Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Saya juga telah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri menghantar barang-barang keperluan (bantuan segera) bagi membantu penghuni yang terjejas," katanya.
Menurutnya, sementara menunggu bantuan kerajaan, satu pusat pemindahan dibina berdekatan dengan tapak asal rumah panjang itu untuk didiami keluarga terlibat.

No comments:

Post a Comment