Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Rumah lebih 50 tahun terbakar

SH


KAMPUNG MASJID JENERI - “Selang 10 minit kami sekeluarga keluar rumah untuk menghantar emak mertua di Jitra, kami mendapat panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan rumah emak hangus terbakar,” kata Nur Aini Abdullah, 44.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang semalam dan pada waktu itu kesemua penghuni rumah tiada kerana kebetulan masing-masing sudah pulang ke tempat mereka setelah beberapa hari bercuti di kampung.

“Jika diikutkan, pagi tadi (semalam) sekitar jam 8.30 pagi, kami dikejutkan dengan kejadian kotak fius secara tiba-tiba terbakar sebelum bertindak menelefon pihak bomba.

“Namun, kerana risau perkara buruk berlaku, kami bertindak sendiri dengan menyimbah air ke kawasan yang terbakar sebelum api padam dan memaklumkan kepada bomba keadaan sudah selamat serta mereka tidak perlu datang,” katanya.

Nur Aini berkata, walaupun pada masa itu, api sudah padam, namun dia terdengar bunyi berdekatan tempat kebakaran dan bau hangit sebelum memberitahu suaminya.

“Suami menyuruh saya bertenang kerana mungkin saya terlalu berfikir perkara buruk, tetapi tanpa saya duga itu adalah petanda buruk iaitu rumah ini akan terbakar.

“Walaupun kami sekeluarga masih terkejut dengan musibah ini, namun tetap bersyukur kerana tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, tambahan pula kami hanya pulang ke sini sebulan sekali kerana ibu tinggal bersama kakak ipar,” katanya.

Pemilik rumah, Minah Md Daud, 77, berkata, malam semalam dia ada memberitahu anak untuk tinggal di rumah ini selama dua malam namun, dihalang anaknya.

“Sekiranya saya tetap berdegil untuk terus tidur di sini, kemungkinan sesuatu yang lebih buruk berlaku syukur nyawa saya masih panjang namun, tetap bersedih kerana semua kenangan bersama arwah suami sudah musnah.

“Rumah ini sudah berusia lebih 50 tahun, namun enam tahun lalu kami membuat sedikit tambahan di bahagian rumah bawah dengan menambah beberapa bilik untuk memberi keselesaan apabila berkumpul,” katanya.

Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sik, Asmawi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.24 petang dan kemudiannya bergegas ke tempat kejadian.

“Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM100,000 termasuk peralatan dalam rumah dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sik, Ardanan Dollah, berkata, semasa kejadian itu, dia baru pulang dari kenduri dan sempat melihat api marak dan kebakaran itu turut disaksikan penduduk yang lalu di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik, berkata, satu kebakaran melibatkan sebuah rumah penduduk Siam turut terbakar malam tadi di Kampung Kubang Kesom ketika penghuninya keluar ke wat Siam berdekatan.

No comments:

Post a Comment