Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Penumpang teksi kena ‘sembelih’ di KLCC


KUALA LUMPUR: Isu pemandu teksi enggan menggunakan meter masih membelenggu warga kota terutama pengguna pengangkutan awam apabila sering menjadi mangsa ketika menggunakan perkhidmatan itu.
Segelintir pemandu teksi di ibu negara dikesan mengenakan caj tambang mahal serta enggan menggunakan meter ketika membawa penumpang dengan memberikan pelbagai alasan bagi melepaskan diri mereka. Beberapa alasan popular yang sering mereka gunakan ialah seperti keadaan cuaca tidak menentu, hujan, musim cuti sekolah dan sewa teksi yang tinggi. Bagi pengguna yang tidak mahu bersesak ketika menggunakan perkhidmatan awam yang lain seperti transit aliran ringan (LRT) dan bas terpaksa membayar tambang mahal yang dikenakan pada mereka. Malah, terdapat juga pemandu teksi yang enggan menggunakan meter walaupun disuruh berbuat demikian untuk mengaut lebih keuntungan. Jubrah Sambindang, 20, berkata menara KLCC adalah kawasan tumpuan pemandu teksi ini mencari makan berdasarkan kehadiran pengunjungnya yang sentiasa ramai sama ada untuk membeli-belah, bersantai atau sekadar menonton wayang.

“Minggu lalu saya dikenakan bayaran sebanyak RM25 dari Jalan Pudu ke KLCC tetapi pada esoknya, saya hanya dikenakan RM5 dari KLCC ke Jalan Pudu,” katanya.

Selain itu, pemandu teksi terbabit juga akan mengenakan kadar yang tinggi sekiranya mengetahui bahawa tidak ada teksi lain yang akan melalui destinasi penumpang yang diketahui sesak pada masa tertentu.

Sementara itu, Mahirah Shahruddin, 23, berkata dia pernah tawar-menawar kadar tambang untuk ke Petaling Jaya apabila kebanyakan teksi yang ingin dinaikinya enggan ke Petaling Jaya disebabkan hari hujan.

“Selalunya, kalau saya naik teksi yang biasa, saya cuma dikenakan RM5 saja, tetapi apabila saya naik teksi ketika hujan sampai RM20 pun ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment