Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Penternak terkejut tiga ekor lembu dilapah pencuri






2011/02/07

KUANTAN: Seorang penternak lembu di Kampung Semangat, di sini terkejut apabila menemui tiga kepala lembu miliknya yang dipercayai disembelih pencuri sebelum daging ternakan itu dilarikan awal pagi kelmarin. 

Nazri Awang Ahmad, 36, berkata kejadian itu disedari adiknya, Mohd Safee, 29, yang menemui satu kepala dan perut lembu dalam kandang ketika hendak menoreh getah pada jam 7 pagi.“Dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada saya dan kami terus melakukan pemeriksaan sebelum menemui dua lagi kepala dan perut lembu di kawasan berhampiran penemuan pertama.
“Saya percaya ia dilakukan lebih daripada lima orang dan lembu ditembak pelali terlebih dulu sebelum disembelih dan dilapah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. 

Nazri berkata, kumpulan pencuri terbabit juga dipercayai memanjat pintu pagar dan memunggah daging lembu yang sudah dilapah melalui bawah pintu pagar berkenaan sebelum diisi ke dalam kenderaan mereka berikutan pintu pagar terbabit masih berkunci seperti biasa dan tidak dipecahkan. 

“Lebih mengejutkan, pencuri terbabit sanggup memikul daging berkenaan sejauh 500 meter iaitu jarak dari lokasi lembu terbabit di lapah ke pintu pagar utama sebelum melarikan diri,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan, Mohd Alim Daud, berkata kejadian terbabit adalah yang keempat berlaku sejak tahun lalu. 
“Dalam kejadian terakhir sebelum ini, enam ekor lembu milik seorang penternak di kampung ini ditembak kumpulan pencuri terbabit namun mereka hanya sempat melapah dua daripadanya dan tiga ekor lagi hanya cedera. 

“Kami merancang untuk membina pagar di sempadan Kampung Hijrah yang hanya akan dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam sahaja bagi mengelak orang luar keluar masuk. 

“Kami juga akan mendapatkan khidmat anggota RELA untuk membuat rondaan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment