Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Peniaga makanan cekik darah


ALOR SETAR: Seorang pesara tentera mendakwa nyaris ditipu pengusaha gerai makanan di pekarangan Stadium Darulaman, di sini, yang didakwanya cuba menipu harga sebenar makanan yang mereka jual, minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pesara tentera yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 60, singgah di sebuah gerai di situ untuk menikmati makan tengah hari sebelum dikehendaki membayar harga makanan yang mengelirukan.

“Saya mengambil gulai telur, sepotong pajeri nanas, sepotong pajeri terung dan sepinggan nasi manakala isteri pula mengambil sepotong gulai ayam, sedikit sayur, ikan masin dan sepinggan nasi.

“Minuman pula teh ais dan jus oren,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini.

Katanya, apabila selesai makan pekerja di gerai itu memberitahu jumlah perlu dibayar RM12.80.

“Saya yang tidak puas hati dengan harga itu meminta pekerja terbabit membuat kiraan semula bagaimanapun seorang wanita yang dipercayai pengusaha gerai berkenaan membuat kiraan dan mendapati harga yang sebenarnya ialah RM10.70 sen.

“Wanita berkenaan menyatakan pekerja itu baru bekerja dan mungkin tidak faham mengenai harga makanan yang dijual. Malah, mereka juga tidak menunjukkan rasa bersalah dan tidak meminta maaf terhadap kesilapan itu,” katanya.

Ahmad berharap pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap peniaga itu kerana dipercayai ramai pelanggan yang sudah teraniaya.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Kedah, Suhaimi Mat Sari ketika dihubungi berkata siasatan akan dibuat terhadap semua gerai makan di pekarangan Stadium Darulaman.

“Jika harga makanan mengelirukan tindakan akan diambil terhadap pengusaha gerai makanan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment