Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Penduduk gempar nampak buaya

SH

MUAR – Penduduk Kampung Tanjung Olak, Bukit Pasir di sini, gempar apabila tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) ternampak seekor buaya sepanjang kira-kira 13 kaki muncul di kawasan kampung berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.15 petang, anggota Rela berkenaan sedang bertugas membuat rondaan di sekitar kawasan kampung dengan menaiki sampan.

Anggota Rela, Kamarudin Ahmad, 49, berkata, semasa rondaan dia ternampak sesuatu seperti kayu timbul di permukaan air berikutan banjir yang melanda kampung berkenaan.

Menurutnya, apabila menghampiri objek terbabit, dia sangat terkejut dan takut setelah mendapati ia adalah seekor buaya.

“Badan buaya ini sangat besar yang dipercayai tersesat daripada sungai berhampiran di kampung ini.

“Buaya ini juga dipercayai kelaparan dan hendak menyerang sekumpulan angsa yang sedang berenang beberapa meter berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Kamarudin berkata, bagaimanapun reptilia berkenaan tidak menyerang angsa terbabit dan beredar selepas ternampak ia dihampiri.

“Saya mengetahui bahawa kawasan sungai di kampung ini banyak buaya tetapi tidak pernah melihatnya.

“Sejak kemunculan reptilia ini menunjukkan kawasan banjir sedalam lima kaki di kampung ini sangat berbahaya,” katanya.

Menurutnya, meskipun kampung berkenaan turut dilanda banjir yang lebih teruk pada 2006, tetapi tidak pernah terjadi kemunculan reptilia di kawasan kediaman penduduk.

“Nasib baik semua 300 mangsa banjir di kampung ini telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Bukit Pasir.

“Sejak peristiwa ini, kami tidak membenarkan mana-mana mangsa banjir pulang ke rumah mereka secara berseorangan sebaliknya perlu beramai-ramai,” katanya.

Kamarudin berkata, dalam pada itu, semua anggota Rela juga meningkatkan kawalan dan mengawasi kanak-kanak supaya tidak ada di antara mereka yang bermain air banjir sebagai langkah keselamatan.

“Selepas kemunculan reptilia ini, semua anggota Rela tidak membuat rondaan menggunakan sampan untuk keselamatan.

“Saya harap buaya ini tidak mengganggu penduduk di sini dan pada masa sama penduduk juga tidak mengganggu buaya berkenaan,” katanya.

Katanya, setakat hari ini tiada perancangan untuk memasang jaring bagi menangkap reptilia berkenaan kerana ia belum mengganggu dan mengancam penduduk.

“Kerjasama daripada penduduk supaya mengikuti arahan yang dikeluarkan supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

No comments:

Post a Comment