Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Pemuda bebas tuduhan bunuh bapa



KUALA TERENGGANU 6 Feb. – Seorang pemuda, Shahrul Azmi Che Mat, (gambar) 21, yang dituduh membunuh bapanya sendiri pada 3 Februari tahun lalu, hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah mendapati dia tidak siuman ketika melakukan perbuatan tersebut.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa selepas berpuas hati dengan hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwa dan pembela.
Bagaimanapun, Mohd. Yazid memerintahkan tertuduh diletak di bawah jagaan pihak yang berkenaan di Hospital Permai, Johor Bahru sehingga ke satu tempoh yang diperkenan oleh Sultan Terengganu.
Mohd. Yazid dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwa menerusi keterangan lapan orang saksinya berjaya membuktikan tertuduh, Shahrul Azmi membunuh bapanya, Che Mat Nik, 51.
Namun, katanya, pihak pembelaan telah membuktikan tertuduh tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Tetuan Mohd. Yusof Endut & Associate.
Shahrul Azmi didakwa membunuh bapanya di rumah bernombor 3635 di Kampung Pulau Duyung Besar, Duyung, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 3 Februari tahun lalu.
Dia yang bekerja sebagai pembaik bot didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Tertuduh dilaporkan cuba menikam abangnya, Irwan Affendi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau rambo ketika sedang tidur menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan daripada bapanya.
Che Mat yang terjaga daripada tidur dipercayai cuba merampas pisau daripada tertuduh, tetapi malangnya ditikam oleh suspek di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Mohd. Yazid, keterangan saksi pembelaan Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Johor Bahru, Dr. Badi‘ah Yahya menyatakan tertuduh semasa menikam ayahnya pada pagi kejadian berada dalam keadaan tidak siuman.
“Tertuduh juga tidak sedar bahawa perbuatan yang dilakukannya itu bersalahan dari segi undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, bapa saudara tertuduh, Rozali Hassan berkata, dia berasa gembira dan bersyukur atas pembebasan anak saudaranya itu.
Rozali yang mewakili seluruh ahli keluarganya memberitahu, mereka reda terhadap apa yang berlaku sebelum ini dan berjanji akan terus memberi sokongan kepada Shahrul Azmi.

No comments:

Post a Comment