Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Pegawai polis dalang

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis berpangkat superintendan berusia awal 50-an ditahan bersama enam lelaki selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran wang palsu dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Jalan Genting Klang, di sini, Jumaat lalu.
Difahamkan, sindiket didalangi pegawai kanan polis itu bersama beberapa ahli perniagaan bergiat aktif sejak setahun lalu dan dilaporkan mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kira-kira jam 11.40 malam itu, pegawai kanan itu ditahan bersama rakan subahatnya iaitu lima warga Indonesia dan seorang warga tempatan masing-masing berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Menurut sumber polis, pihak berkuasa melakukan risikan sejak sebulan lalu selepas menerima laporan pembabitan pegawai terbabit dalam pengedaran wang palsu mata wang dolar Amerika Syarikat dan United Kingdom (Pound Sterling) sekitar Lembah Klang.

“Dalam serbuan di kondominium mewah sepasukan anggota diketuai seorang pegawai operasi membuahkan hasil apabila dalang utama diberkas berada dalam premis itu,” katanya.


Sumber berkata, dalam serbuan itu pihak berkuasa merampas beberapa barangan seperti komputer riba, pemacu pena serta beberapa kotak yang dipercayai digunakan untuk pengedaran wang itu.

“Malah, pihak berkuasa turut merampas wang tunai dipercayai hasil kutipan pengedaran wang palsu yang dilakukan kumpulan terbabit,” katanya.

Sumber berkata, pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan wang palsu berkenaan dicetak dalam negara atau dibawa masuk dari negara luar.

“Malah, beberapa barangan dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran itu dilaporkan dihantar kepada makmal polis untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Difahamkan, semua suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan dan akan berakhir esok (hari ini).


Usaha wartawan Harian Metro bagi mendapatkan penjelasan polis gagal, namun difahamkan, sidang media mengenai kejayaan polis Bukit Aman melumpuhkan sindiket pengedaran wang palsu itu dilakukan dalam masa terdekat.
myMetro | Pegawai polis dalang

No comments:

Post a Comment