Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Parah dilanggar jet ski



GEORGETOWN - Kegembiraan sebuah keluarga bercuti bersama di pantai Batu Feringghi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka cedera parah di bahagian kaki dilanggar sebuah jet ski yang ditunggang dua lelaki warga Myanmar di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 9.40 pagi semalam, menyebabkan percutian mangsa, Zhu Li, 47, warganegara China, bersama suaminya, Zhao Yong Gang, 47, anak perempuan, Zhao Xue, 20, dan tiga rakannya di kawasan pantai di belakang Hotel Golden Sands Resort menjadi kelam-kabut selepas dia dilanggar sebuah jet ski dari arah belakang.

Zhao Xue berkata, sebelum kejadian, dia didatangi seorang pengurus aktiviti jet ski yang menawarkan perkhidmatan sewaan sukan air namun dia dan ahli keluarganya menolak tawaran itu kerana tidak berminat dengan tawaran itu.

Menurutnya, selepas itu, mereka sekeluarga bersama rakan sedang bermain di tepi pantai dan beberapa minit sebelum kejadian, bapanya merakam gambarnya manakala ibunya pula sedang berdiri membelakangkan pantai.

“Ketika itu, saya nampak jet ski yang ditunggang dua lelaki Myanmar dalam keadaan laju selain mereka seperti tidak pandai mengawal jentera itu.

“Saya terkejut kerana secara tiba-tiba jet ski yang ditunggang dua lelaki itu dibawa laju ke arah ibu saya dan melanggarnya dari arah belakang,” katanya ketika ditemui media di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.

Zhao Xue berkata, dia bersama rakannya nampak dengan jelas jet ski itu dengan sengaja ditunggang laju ke arah ibunya dan tidak menyangka pengalaman mereka bercuti di tepi pantai sempena Tahun Baru Cina akan bertukar malang buat ibunya.

Sementara itu, Zhao Yong, seorang pekerja kilang di Sungai Petani, Kedah sejak 10 tahun lalu pula berkata, selepas dua lelaki berkenaan melanggar isterinya, mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh orang ramai di kawasan itu yang turut menyaksikan kejadian berkenaan sebelum memukul kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, tulang paha kedua-dua belah kaki isterinya terkeluar akibat kejadian berkenaan dan dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya di HPP, kaki kiri isterinya cedera parah namun kini berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah mengarahkan semua pengusaha sukan air di kawasan pantai Batu Feringghi dihentikan sementara waktu sehingga siasatan oleh polis selesai.

Kon Yeow berkata, pihaknya juga dimaklumkan oleh anggota polis, dua lelaki Myanmar terbabit sudah ditahan di Balai Polis Batu Feringgi untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan dua lelaki berkenaan pada mulanya ditahan di Balai Polis Batu Feringgi sebelum dihantar ke Balai Polis Tanjung Tokong.
-SH

No comments:

Post a Comment