Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Nyaris maut pokok kelapa hempap rumah

myMetro | Nyaris maut pokok kelapa hempap rumah
KERLING:“Saya tergamam apabila kipas pada siling rumah yang sedang berpusing tiba-tiba jatuh dan nyaris terkena kepala saya sejurus sebatang pokok kelapa tumbang menghempap rumah,” kata K Saraswaty, 57.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 petang semalam ketika mangsa berehat menonton televisyen di ruang tamu rumah bersama lima cucunya berusia lima hingga 10 tahun.

Menurutnya, cuaca ketika itu baik dan dia tidak pasti apa punca pokok kelapa itu tumbang mendadak.

“Kipas siling rumah saya jatuh cuma kira-kira sejengkal dari kepala saya. Beberapa keping atap zink juga jatuh bertaburan di ruang tamu. Saya terkejut dan hanya sempat memeluk cucu saya yang menangis ketakutan lalu membawa mereka ke ruang dapur,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana mereka semua selamat walaupun keadaan rumahnya rosak teruk dan berlubang akibat dihempap pokok.


Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kuala Kubu Bharu yang tiba beberapa minit kemudian bertindak membersihkan batang pokok kepala yang tumbang itu sambil dibantu jiran-jirannya.

“Rumah ini peninggalan ayah, tetapi dibina di atas tanah orang lain. Keadaannya memang uzur dan dibina daripada kayu,” katanya yang tinggal di rumah itu bersama adik K Selvam, 43, yang masih belum berumah tangga. Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun melawat lokasi kejadian sebelum menghulurkan sumbangan bagi membolehkan kerosakan rumah mangsa dibaiki.

No comments:

Post a Comment