Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Niat baik bawa padah


PETALING JAYA – Usaha dua pengawal keselamatan membantu meleraikan pergaduhan seorang rakan mereka dengan sekumpulan warga asing bertukar tragedi apabila mereka maut ditetak dan ditikam dalam kejadian di tapak pembinaan di Damansara Perdana, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam insiden kira-kira jam 8.20 malam itu, perut kedua-dua lelaki berusia 20 dan 26 tahun itu terburai akibat ditikam bertubi-tubi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum kejadian, seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan berkenaan berselisih faham dengan beberapa pekerja asing yang tinggal di rumah kongsi di kawasan terbabit.

“Pengawal terbabit kemudian memanggil dua rakannya yang juga pengawal keselamatan bertugas di tempat lain untuk membantunya.

“Sekumpulan warga asing dipercayai dalam anggaran 12 hingga 15 orang secara tiba-tiba datang membawa senjata tajam lalu menyerang mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Arjunaidi berkata, seorang daripada tiga pengawal keselamatan itu sempat lari menyelamatkan diri dan tidak mengala:mi sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

“Kumpulan warga asing itu turut melarikan diri, tetapi kita telah menahan pengawal keselamatan tapak pembinaan dan dua warga Indonesia yang menghuni rumah kongsi di situ untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Pagi tadi (semalam), tiga warga asing ditahan di sebuah rumah di Jalan Klang Lama,” katanya.

Arjunaidi berkata, polis masih memburu baki suspek dipercayai terlibat dalam kes itu dan sedang menyiasat motif pembunuhan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Ke:seksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment