Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Nenek, lima cucu nyaris maut



KERLING - Seorang nenek bersama lima cucunya nyaris dihempap pokok yang secara tiba-tiba tumbang dan menghempap rumahnya di Kampung Gate, di sini lewat petang kelmarin.

Paling menakutkan nenek terbabit, ketika pokok menghempap rumahnya, kipas siling berpusing dan nyaris menimpa lima cucunya yang asyik bermain di ruang tamu rumah.

Ketika ditemui semalam, nenek, K Saraswaty, 57, masih dalam keadaan trauma dan mengusap-usap dadanya sambil ditenangkan anaknya.

“Ketika itu, semua cucu main di ruang tamu dan saya bersama anak sedang menonton televisyen.

“Cuaca pun baik masa tu, tak ada angin dan hujan, tetapi tiba-tiba saja pokok tumbang dan menembusi bumbung ke ruang tamu rumah.

“Nyaris kipas dan zink serta serpihan kayu tidak menimpa kami,” katanya menceritakan detik kejadian itu.

Menurutnya, terkejut dengan kejadian itu, dia lantas memeluk cucu-cucunya yang ketika itu menangis ketakutan lalu membawa mereka ke ruang dapur.

Saraswaty berkata, dia bersyukur kerana semuanya selamat walaupun keadaan rumahnya rosak teruk dan berlubang akibat dihempap pokok.

Menurutnya, bomba tiba beberapa minit kemudian dan bertindak membersihkan batang pokok kelapa yang tumbang sambil dibantu jirannya.

“Rumah ini adalah peninggalan ayah tetapi dibina di atas tanah orang lain. Keadaannya memang uzur dan dibina daripada kayu.

“Saya tinggal bersama adik di sini kerana dia, K Selvam, 43, tidak ada rumah dan masih belum berkeluarga.

“Sesekali, anak dan menantu juga datang bersama cucu. Kebetulan pula, ketika ini mereka cuti dan tinggal di sini dan dalam masa sama pula kejadian ini berlaku,” katanya bimbang dengan keselamatan cucunya.

Bagaimanapun, kejadian itu mendapat perhatian wakil rakyat yang turun menghulurkan bantuan meringankan beban mangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun ketika ditemui berkata, beliau bersimpati dengan mangsa dan bersyukur semua mereka selamat.

“Saya amat bersimpati dengan kejadian menimpa keluarga ini. Bagi meringankan beban mereka saya menghulurkan bantuan RM2,000 untuk keperluan mereka terutama untuk membaik pulih semula bumbung dan rumah yang rosak.

“Bantuan ini juga cukup untuk kegunaan keperluan lain dan diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya yang tetap turun melawat mangsa walaupun masih meraikan tetamu yang datang ke rumahnya.

No comments:

Post a Comment