Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Nelayan ditemui terapung




BACHOK – Hasrat nelayan pinggir pantai membawa balik hasil tangkapan ke rumah tidak kesampaian apabila dia dikatakan lemas selepas dipercayai terjatuh bot ketika memasuki kuala Pantai Senok di sini, semalam.

Mayat Raja Ibrahim Raja Hussin, 66, dari Kampung Tok Mekong ditemui rakannya yang keluar mencari selepas menemui bot mangsa terapung.

Mat Janin Mat Jusoh, 44, berkata, dia menemui bot mangsa terapung-apung di kuala jam 10 pagi, selepas menangkap ikan bersama seorang lagi rakan.

Menurutnya, dia mengenali bot tanpa tuan yang terapung di kuala itu dan mula mengesyaki sesuatu berlaku apabila gagal menemui pemiliknya di kawasan berkenaan.

“Saya menunda botnya ke jeti dan memanggil rakan-rakan untuk keluar mencarinya, kami bernasib baik kerana tidak lama selepas itu, mayat pemilik bot itu ditemui terapung kira-kira 500 meter dari kuala.

“Saya mengecam bot itu milik dia (Raja Ibrahim) dan jangkaan saya benar apabila melihat mayatnya,” katanya yang kemudiannya menghubungi polis, bomba dan Jabatan Perikanan.

Mat Janin berkata, dia percaya, mangsa terjatuh akibat dipukul ombak ketika memasuki kuala selepas mendapati ikan masih berada dipukatnya dalam bot tersebut.

“Saya terpaksa mengikat mayat dengan pelampung kerana khuatir ia tenggelam sementara menunggu pihak berkuasa datang,” katanya yang kemudiannya bawa mayat ke pangkalan Jabatan Perikanan di Tawang.

Isteri mangsa, Kalthom Yusof, 61, berkata, arwah sudah biasa keluar menangkap ikan sendirian di sungai dan pesisir pantai.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap bimbang keselamatan suaminya dan sering menasihati arwah supaya berhati-hati kerana laut masih bergelora.

Penduduk, Mohamad Ibrahim, 50, berkata, kuala itu tidak terlalu berbahaya bagi mereka yang mahir mengendalikan bot.

“Adakalanya, ombak datang secara mengejut dari arah belakang ketika bot memasuki kuala, mungkin dia (mangsa) dipukul ombak sehingga terjatuh dari bot dan lemas,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment