Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Nasib tak rentung

REMBAU: Walaupun bas dinaiki hangus terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 224.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berdekatan Pedas di sini, kelmarin, 14 penumpang termasuk warga asing dan kanak-kanak, terselamat daripada rentung.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kerosakan enjin dipercayai menyebabkan bas ekspres dua tingkat berkenaan terbakar sebelum musnah dijilat api.

Tindakan pantas pemandu bas segera memberhentikan kenderaan berjaya menyelamatkan nyawa penumpang yang dipercayai berusia antara 18 dan 50-an termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang tidak dikenal pasti usianya.

Menurut jurucakap polis, siasatan awal pihaknya mendapati bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu dalam perjalanan menuju ke Singapura selepas bertolak dari ibu negara, kira-kira 7.30 malam.

“Apabila tiba di sekitar lokasi kejadian, dia (pemandu) dikatakan berasa curiga apabila mendapati enjin belakang bas mengeluarkan api. “Berikutan itu, dia segera memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dan mengarahkan semua penumpang supaya turun dan menuju ke kawasan lebih selamat.


“Tidak lama kemudian, api marak dan memusnahkan keseluruhan bas dua tingkat terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, kelmarin.

Menurutnya, kejadian berlaku agak pantas namun seramai 14 penumpang dan pemandu terselamat berikutan sempat keluar daripada bas berkenaan. “Tiada sebarang kecederaan serius dialami mereka dalam kejadian itu dan semua penumpang dipindahkan menaiki sebuah bas ekspres lain meneruskan perjalanan,” katanya.myMetro | Nasib tak rentung

No comments:

Post a Comment