Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Nahas pandu kereta baru


MASJID TANAH: Hasrat seorang pekerja kilang menggayakan Perodua ViVa yang baru dibeli sejak sebulan lalu di tempat kerja tidak kesampaian apabila kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terhumban dalam longkang di Kampung Hujan Panas, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Robiah Yaakob, 35, bersama suami, Zabillah Mat Derus, 39, serta anak perempuan mereka berusia tujuh tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan malam.

Robiah berkata, sebelum ini dia memang tidak berani memandu kereta berkenaan walaupun sudah dibeli sebulan lalu, namun tiba-tiba hatinya memberontak lalu memberanikan diri memandu ke stesen minyak bersama keluarga.

Menurutnya, ketika mengisi petrol, perasaannya mula gementar kerana baru pertama kali memandu kereta tetapi bercadang singgah makan malam terlebih dulu sebelum keluar rumah.

“Selepas makan malam, suami yang duduk di sebelah pemandu mengajak saya pulang ke rumah kerana sudah lewat malam tetapi ketika memandu masuk ke simpang rumah tiba-tiba saya terpusing stereng kereta ke kanan.

“Suami yang tidak mahir memandu kereta menjerit meminta saya menekan brek kerana bimbang tersasar ke kanan jalan, namun keadaan terlalu panik tanpa disedari terpijak pedal minyak disangkakan brek.

“Berikutan itu, kereta meluncur ke tebing jalan lalu mengiring sebelum terbalik dalam longkang, mujur kami tidak cedera dan berjaya keluar menerusi tingkap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia trauma kerana tidak menyangka mengalami perkara buruk, namun bersyukur terselamat.

“Memang saya bercadang mahu memandu kereta baru dibeli ke tempat kerja esok (semalam) disebabkan tiada pengangkutan disediakan tetapi tidak sangka perkara lain pula berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment