Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Murid Tahun Enam lemas dihanyut arus





2011/02/06

SEGAMAT: Hasrat seorang murid Tahun Enam membantu keluarganya membersihkan pakaian dan peralatan rumah yang kotor akibat banjir, berakhir tragedi apabila dia dihanyutkan arus deras ketika membasuh di Sungai Segamat Kecil, di sini tengah hari kelmarin. 

Mangsa kelima korban banjir di Johor itu, Siti Aishah Shahril, 12, dari Kampung Paya Luas, di sini meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin, selepas 12 jam dimasukkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Segamat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Md Ali, berkata kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari ketika mangsa bersama 10 ahli keluarganya sedang membasuh pakaian di sungai itu kerana rumah mereka terputus bekalan air sejak seminggu lalu akibat banjir.
"Ketika itu mangsa bersama dua sepupunya yang sebaya berada dalam sungai sebelum secara tiba-tiba mereka dihanyutkan arus dan tenggelam. Bapa saudara mereka berjaya menyelamatkan dua sepupu mangsa, namun Siti Aishah tidak sempat diselamatkan apabila tenggelam kira-kira 10 minit. 

"Orang awam yang tampil membantu berjaya mengesan mangsa di dasar sungai terbabit sebelum dia dibawa naik ke tebing dan dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Segamat, tetapi meninggal dunia ketika dalam rawatan," katanya. 

Abdul Majid berkata, mangsa meninggal dunia akibat kerosakan organ dalamannya dipercayai akibat tertelan banyak air ketika tenggelam dalam sungai terbabit. 

Kematian mangsa menjadikan jumlah korban akibat banjir di negeri ini lima orang dalam tempoh seminggu dengan empat kejadian sebelum ini membabitkan dua wanita dan dua lelaki dalam empat kejadian berasingan di Segamat dan Kulaijaya. 

No comments:

Post a Comment