Search This Blog

Sunday, February 20, 2011

Murid Tahun Enam diketuk cikgu




KULIM - Gara-gara tersalah membuat kerja sekolah, seorang murid Tahun Enam, Norazlinda Shamsuddin diketuk di kepalanya beberapa kali oleh seorang guru perempuan di sekolahnya. Berikutan tindakan itu, murid berkenaan terpaksa mendapatkan rawatan doktor kerana sering sakit kepala.

Bapa mangsa, Shamsuddin Ahmad yang juga Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Taman Kuchai dan Taman Sadri berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu sehingga anaknya mengadu sakit.

“Saya tidak kisah dengan tindakan guru terhadap anak saya sebelum ini kerana tugas mereka adalah untuk mendidik tetapi tindakan mengetuk kepala itu tidak sewajarnya dilakukan cikgu berkenaan.

“Anak saya memaklumkan dia sakit kepala beberapa hari selepas diketuk gurunya. Kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang apabila anak saya tersilap membuat kerja sekolah.

“Akibat terlalu marah dan dikatakan tidak mengikut arahan, guru terlibat mengetuk bahagian kanan kepala anak saya beberapa kali. Kesan tindakan itu, anak saya terpaksa mendapatkan rawatan doktor dan memakai cermin mata,” katanya.

Menurutnya, beberapa hari selepas kejadian, guru yang sama menumbuk di bahagian belakang anaknya. Masalah ini sudah dibawa ke pengetahuan guru besar dan berbincang mengenai kejadian yang berlaku terhadap anaknya.

Katanya, guru berkenaan meminta maaf dan membuat bayaran ganti rugi terhadap kesemua kos perubatan yang dikenakan terhadap mangsa.

Namun, selepas kejadian itu, mangsa menjadi bahan sindiran guru terbabit ketika berada dalam kelas.

“Ini bukan kali pertama guru berkenaan membuat perlakuan seperti itu kepada muridnya. Dia juga pernah berkata, “saya tidak takut kepada sesiapa pun.”

"Dia seharusnya sedar dengan kesilapan yang dilakukan. Berikutan itu, saya sudah membuat aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim berkaitan masalah ini dan tidak membuat laporan polis kerana menghormati sekolah. Sekiranya masalah ini tidak diselesaikan dalam masa terdekat, saya akan membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, beliau meminta guru besar dan PPD menasihatkan guru berkenaan supaya mengubah sikap dan tidak melakukan tindakan yang tidak sewajarnya kepada murid.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis hanya akan mengambil tindakan apabila mangsa atau warisnya membuat laporan polis tentang kekasaran dan kecederaan yang berlaku terhadap diri mangsa.

“Saya menasihatkan kepada waris berkenaan supaya berbincang dengan guru besar sekolah kerana kes ini adalah masalah dalaman. Tetapi sekiranya waris tidak berpuas hati, mereka boleh membuat laporan polis dan kami akan menjalankan siasatan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment