Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Mayat lelaki dikerat tiga

IPOH: Mengerikan apabila mayat seorang mangsa pembunuhan yang ditemui tanpa kepala kelmarin, dikerat kepada tiga bahagian dan dimasukkan ke dalam dua beg pakaian sebelum dibuang ke dalam Sungai Kuang.
Kepalanya hanya ditemui semalam iaitu 500 meter dari lokasi bahagian badannya ditemui.

Bahagian kepala itu ditemui sepasukan anggota polis yang menjalankan siasatan berhampiran lokasi penemuan mayat berkenaan sebelum mereka menemuinya di sungai sama berdekatan Taman Bandar Seri Kelebang, jam 5 petang.

Kelmarin, beberapa kaki pancing yang memancing di sungai itu berdekatan Kilang Hovid, Batu 8 Jalan Kuala Kangsar, terkejut selepas menemui mayat tanpa kepala dalam keadaan mengerikan dalam dua beg pakaian dengan badan mangsa dikerat tiga bahagian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berketurunan India berusia lingkungan 40-an.


Beliau berkata, pihaknya percaya bahagian kepala yang ditemui itu dipercayai ada kaitan dengan bahagian badan yang ditemui dalam dua beg pakaian sebelum ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dikerat-kerat dan disumbatkan ke dalam dua beg pakaian sementara kepalanya dicampak di lokasi lain.

“Mayat yang disumbat ke dalam dua beg dicampak ke dalam sungai ditemui beberapa kaki pancing di sungai berkenaan. Mereka kemudian menghubungi polis selepas menghidu bau busuk dari dua beg pakaian itu.

“Mangsa dipercayai sudah dibunuh beberapa hari lalu berdasarkan keadaannya yang sudah berbau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan terdekat menghubungi polis bagi membantu siasatan.


Azisman berkata, pihaknya juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu dan sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).


Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga terdekat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 05-2451500.
myMetro | Mayat lelaki dikerat tiga

No comments:

Post a Comment