Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Maut di kawasan larangan



SEDIM - Kegembiraan sekumpulan remaja yang datang berkelah di Taman Rekreasi Arus Deras Sedim, sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka, Ahmad Zharif Ridzwan Omar, 15, yang tinggal di Kampung Setul, Telok Air Tawar mati lemas tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa dihanyutkan arus deras.

Abang mangsa, Ahmad Farul Radzi Omar yang ketika itu berada di tempat kejadian cuba membantu adiknya tetapi gagal.

“Mangsa berusia 15 tahun dan tidak bersekolah. Dia pergi ke Taman Rekreasi Arus Deras Sedim untuk berkelah bersama kawan-kawan dan saudaranya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa berjaya ditemui penduduk kampung kira-kira jam 1 petang di sekitar kawasan Lubuk Batu di mana kejadian lemas sering berlaku.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana lemas.

Sementara itu Penyelaras Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Aziz Sheikh Fadzil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar dengan dugaan Allah.

“Ini merupakan kejadian pertama tahun ini. Sepanjang 2010, lima hingga enam mangsa dilaporkan lemas di sekitar kawasan di mana Allahyarham Ahmad Zharif ditemui.

“Kawasan itu adalah kawasan larangan malah papan tanda telah diletakkan. Saya meminta di masa akan datang pengunjung dapat mematuhi arahan papan tanda yang ada di sekitar kawasan Taman Rekreasi Arus Deras Sedim,” katanya.

Untuk memastikan masalah tidak berulang, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Pejabat Daerah Kulim bagi mencari jalan penyelesaian.
-SH

No comments:

Post a Comment