Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Makan malam terakhir



KLANG - “Arwah ayah berkeras tidak mahu makan selagi saya dan ibu tidak duduk bersamanya menjamu selera. Berkali-kali dia memanggil kami membuatkan kami pelik dan terus duduk di sebelahnya menjamu hidangan pada malam sebelum kejadian,” kata Hanafi, 20, anak kepada arwah Hosni Mohd Sani, 67, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pagi semalam, selepas beberapa hari terlibat dalam kemalangan.

Dia yang juga anak tunggal arwah berkata, itu adalah makan malam terakhir dia dan ibu bersama arwah yang kebetulan pulang bercuti hujung minggu di kediaman keluarganya di Jalan 6, Taman Pandamaran Jaya, dekat sini.

“Kebiasaannya kami akan panggil ayah untuk menjamu selera bersama bagaimanapun berlainan pada malam itu.

“Sudah menjadi kebiasaan ayah pergi kerja awal pagi sebab dia akan singgah di kedai makan sebelum ke tempat kerjanya untuk memulakan tugas syif pagi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak sangka, itu adalah makan malam terakhir dia bersama arwah ayahnya yang sering menasihati agar belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya bergelar jurutera pada satu hari nanti.

Difahamkan Hanafi adalah penuntut tahun pertama Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi beberapa hari lalu, Hosni yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Bandar Puteri dalam perjalanan ke tempat kerjanya bagaimanapun dia dilanggar sebuah kereta yang gagal mengelak ketika mangsa keluar dari simpang tiga lampu isyarat Jalan Kim Chuan.

Akibat rempuhan itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terperosok ke dalam parit berdekatan.

Sementara itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, mangsa yang cedera parah segera dikejarkan ke HTAR dan meninggal dunia di Wad 4C, semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di leher dan tulang belakang.

Mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Balai Trafik Klang Selatan menerusi talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment