Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Lelaki tertinggal feri hilang




Oleh Hamzah Osman 
bhnews@bharian.com.my 
2011/02/06

3 sahabat bertarung maut bot karam langgar batu di Teluk Penarak 

LANGKAWI: Dua sahabat bertarung maut apabila terpaksa berenang sejauh 500 meter ke pulau berhampiran untuk menyelamatkan diri, manakala seorang lagi masih hilang kerana bot mereka karam akibat terlanggar seketul batu besar di Teluk Penarak di sini, kelmarin.Ketika kejadian pada jam 1.30 pagi itu, Shukor Ramjan, 29, dan rakannya, Muhammad Fitri Baharudin, 23, dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Perlis untuk menghantar, Zairy Zainol, 30, yang tertinggal feri terakhir ke Kuala Perlis pada jam 7 malam.
Bagaimanapun, ketika sampai di tempat kejadian, bot dipandu Shukor terlanggar seketul batu besar berhampiran Pulau Bumbun Besar menyebabkan ia pecah dan karam. 

Shukor berkata, kejadian berlaku pantas dan mereka bertiga tidak sempat berbuat apa-apa melainkan menyelamatkan diri dengan berenang ke pulau berhampiran. 

Bagaimanapun katanya, ketika mendarat di sebuah pulau Zairy tidak kelihatan menyebabkan dia dan Muhammad Fitri bimbang mengenai keselamatan rakan mereka itu. 

“Saya dan Muhammad Fitri berenang mengikut arus, manakala Zairy mengambil keputusan berenang melawan arus. Ketika berenang kami saling memanggil nama satu sama lain selain memberi semangat. 
“Sebaik mendarat hanya Muhammad Fitri yang ada, manakala Zairy tidak dapat dikesan. Kami memanggil namanya berkali-kali tapi tiada tindak balas. 

“Menjelang tengah hari, bot nelayan dinaiki warga emas menghampiri kami sebelum membawa kami ke jeti nelayan di Kampung Penarak dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi,” katanya. 

Tinjauan di jeti nelayan Kampung Penarak mendapati operasi mencari dan menyelamat turut disertai bapa Zairy, Zainol Baharom, 56, dan isterinya, Julia Jaafar, 30, yang tiba bersama empat ahli keluarganya dari Kuala Perlis, semalam. 

Julia berkata, suaminya memaklumkan akan pulang dengan bot sewa selepas ketinggalan feri terakhir dari Kuah ke Kuala Perlis pada jam 7 malam kelmarin. 

“Saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga bapa mentua memberitahu suami hilang selepas bot dinaiki bersama dua rakannya karam di perairan Langkawi,” katanya ketika ditemui, semalam. 

No comments:

Post a Comment