Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Lelaki mati dipercayai ditikam



SUNGAI PETANI 27 Feb. – Seorang lelaki dibunuh kejam apabila ditikam dan mayatnya dicampak di bahu jalan di bawah jejantas Jalan Lencongan Barat berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini malam tadi.
Mangsa, K. Maran, 31, ditemui pukul 10.30 malam oleh penunggang motosikal dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah di kepala selain terdapat kesan tikaman di belakang badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan itu.
“Mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah. Ketika ditemui, mangsa masih memakai pakaian dan tali leher berwarna emas.
“Kita menolak kemungkinan motif samun kerana barangan peribadi lain dan wang tunai masih berada bersama mangsa.
“Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh tidak lebih lima jam sebelum mayatnya ditemui,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.
Menurut Mohd. Zakaria, berdasarkan semakan awal, mangsa tinggal di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, kira-kira lima kilometer dari lokasi mayatnya ditemui.
Katanya, pemeriksaan polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.
Polis katanya, setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian mangsa keluar bersembahyang di sebuah kuil berdekatan rumahnya.
Bagaimanapun, dia mendakwa, sekumpulan lelaki muncul secara tiba-tiba dan memanggil mangsa keluar dari kuil.
“Selepas itu, berlaku pergelutan dan kumpulan lelaki tersebut kemudian membawa Maran naik kereta,” katanya.
Dia memberitahu, ahli keluarga kemudian dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment