Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Lelaki edar kanabis ke tali gantung



28/02/2011 6:25pm

SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang yang bakal menyambut hari jadinya yang ke-25 esok, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar 295.01 gram kanabis, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Mohd Kamarulzaman Irwan Shah, 24, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Awak ditawarkan pertuduhan pilihan pada peringkat awal kes, tetapi awak tolak dan ini merupakan perjudian yang amat serius serta berbahaya.
"Berdasarkan keterangan, jelas awak ada kawalan dan pengetahuan terhadap dadah itu. Justeru, awak didapati bersalah dan hanya ada satu hukuman di bawah undang-undang iaitu awak dihukum mati,” katanya.
Sejurus selepas Hakim Mohtarudin membacakan keputusan itu, Mohd Kamarulzaman yang berdiri dalam kandang tertuduh kelihatan tenang sementara anggota keluarganya di galeri awam menangis teresak-esak.
Mohd Kamarulzaman didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Kenanga Sari 3A, Bandar Sungai Buaya, Rawang dekat sini, kira-kira 7 pagi pada 16 Mei 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohtarudin juga berkata pembelaan tertuduh bahawa kunci tombol pintu biliknya rosak adalah sesuatu yang difikirkan kemudian.
Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, bilik Mohd Kamarulzaman berkunci dan anak kunci dipegang oleh tertuduh.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar mengemukakan 11 saksi manakala pembelaan yang diwakili peguam Adi Harman Mawardi, memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan dalam kes itu. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

No comments:

Post a Comment