SEOUL 27 Feb. - Korea Utara akan melancarkan serangan merentasi sempadan jika Seoul meneruskan propaganda antirejim di kawasan sempadan yang memisahkan dua negara itu, lapor media kerajaan hari ini.
Menurut agensi berita rasmi Korea Utara (KCNA), tentera Korea Utara tidak teragak-agak melepaskan tembakan ke kawasan sempadan di mana aktivis dan tentera Korea Selatan melepaskan belon-belon yang membawa risalah antikerajaan serta cakera padat digital (DVD).
"Tentera kami yang berada dalam keadaan mempertahankan diri akan melancarkan serangan terus ke lokasi aktiviti menyebarkan propaganda anti republik tersebut, jika aktiviti itu terus dijalankan walaupun amaran telah dikeluarkan," menurut KCNA.
Korea Utara menerusi laporan KCNA, menggesa Korea Selatan menghentikan perang psikologi itu dengan segera.
Ketegangan dijangka berterusan di semenanjung Korea dengan pelancaran latihan tentera bersama antara Amerika Syarikat (AS) dengan Korea Selatan yang akan berakhir 10 Mac ini dan Pyongyang mendakwa keadaan itu boleh membawa kepada perang.
Amaran tersebut dibuat beberapa hari selepas seorang penggubal undang-undang mendakwa tentera Korea Selatan menyebarkan berita tentang kebangkitan rakyat menentang rejim yang berlaku di Asia Barat dan Afrika Utara.
Ahli politik parti pembangkang, Song Young-sun yang memetik laporan Kementerian Pertahanan berkata, belon membawa bekalan ubat-ubatan serta pakaian telah dilancarkan. - AFP
No comments:
Post a Comment